Agrobank tawar ganjaran RM2.5 juta melalui Kempen Mega Million 3.0
Agrobank kembali dengan kempen tahunan Mega Million 3.0 yang menawarkan pelbagai ganjaran menarik bernilai lebih RM2.5 juta kepada pelanggan di seluruh negara.
Kempen yang bermula dari 1 November 2025 hingga 31 Oktober 2026 itu menampilkan hadiah utama sebuah Ford Ranger Raptor, selain cabutan bulanan yang menawarkan Proton X50.
Pelanggan juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai, motosikal Modenas Elit 150S, sijil simpanan AgroPrimaS, dan kepingan emas melalui cabutan bertuah di seluruh negara.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata kejayaan kempen Mega Million 2.0 sebelum ini menjadi pemangkin kepada pelancaran edisi ketiga ini.
"Kempen Mega Million 2.0 telah mencapai jumlah keseluruhan deposit melebihi sasaran sebanyak 160 peratus dimana produk-produk perbankan lain yang ditawarkan turut menunjukkan peningkatan positif," katanya.
Tambahnya lagi, Mega Million 3.0 bukan sekadar tanda penghargaan kepada pelanggan setia, tetapi juga inisiatif untuk memupuk kesedaran terhadap perancangan kewangan strategik dalam kalangan masyarakat.
"Produk yang ditawarkan oleh Agrobank direka dengan teliti bagi memenuhi keperluan kewangan pelanggan di setiap peringkat kehidupan, sekali gus membantu mereka mencapai kestabilan kewangan yang mampan," katanya.
Kempen ini merangkumi pelbagai produk dan perkhidmatan Agrobank seperti AgroPrimaS, AgroPerdana-i PLUS, AgroCash-i, Hartani-i, Ar-Rahnu, Takaful Kasih Plus, Agro Madani, Agro Nurani, Penulisan Wasiat dan Motor Takaful di mana keseluruhan ganjaran bernilai lebih RM2.5 juta.
Agrobank, yang ditubuhkan pada 1969, merupakan institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 2015 dan kekal sebagai peneraju pembiayaan sektor pertanian serta perbankan berasaskan nilai (VBI) di Malaysia.
Melalui 207 rangkaian termasuk 140 cawangan di seluruh negara, Agrobank terus komited menyokong pembangunan dan kesejahteraan komuniti pertanian tanah air.
Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen Mega Million 3.0 kini, pelanggan boleh mengunjungi cawangan Agrobank terdekat atau melayari laman web rasmi di www.agrobank.com.my.


