Top Ad 728x90

Pengambilan Pegawai Tadbir Diplomatik PTD Tahun 2022

by

 




JABATAN PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA
 
IJAZAH (PENGURUSAN DAN PROFESIONAL)
 
JAWATAN : PENGAMBILAN KADET PEGAWAI TADBIR DAN DIPLOMATIK BAGI MENGIKUTI KURSUS DIPLOMA PASCA SISWAZAH PENGURUSAN AWAM SESI 2022 
 
KEKOSONGAN : 400
SIMPANAN : 50
 
Maklumat syarat lantikan/ gaji/ tugas-tugas jawatan di pautan berikut :
 
Tarikh tutup permohonan : 07 Jun 2021 (Isnin), jam 11.59 malam.
 
Untuk memohon, sila klik pautan Borang SPA9 di bawah :
 
 


Teknik PdPR murid OKU

by

 

Artikel oleh Prof Madya Dr Abdul Rahim Razalli
Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Pernahkah anda terfikir bagaimana seorang murid berkeperluan khas atau orang kurang upaya (OKU) menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)?

Bagaimanapun pula guru menangani kelompok murid sebegini setelah sekian lama terbiasa dengan kelas secara fizikal?

Dasar Pendidikan Negara menekankan mengenai setiap rakyat berhak untuk mendapatkan pendidikan. Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memperkenalkan program khusus kepada kumpulan pelajar OKU menjalani PdPR.

Pelaksanaan dasar dan program pendidikan khas ini termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 dan Akta OKU 2008. Melaluinya, murid OKU dapat memperoleh pendidikan sama rata dengan pelajar arus perdana.

Bagaimanapun, kurikulum, kaedah dan teknik pengajaran serta pembelajaran memerlukan pengubahsuaian. Sebenarnya, penyampaian kurikulum akan lebih berkesan sekiranya guru pendidikan khas berjaya menggunakan bahan pengajaran interaktif mengikut keupayaan dan keperluan yang berbeza.

Perbezaan itu terjadi disebabkan kategori keperluan khas atau keadaan dialami pelajar berkeperluan khas tidak sama, malah penerimaan mereka terhadap topik diajar juga berbeza mengikut tiga aras keupayaan kognitif, afektif dan psikomotor iaitu rendah, sederhana dan tinggi.

Dalam memastikan penyampaian PdPR yang berkesan kepada pelajar pendidikan khas, guru mestilah menggunakan teknik dan gaya belajar berkonsepkan Visual, Auditori dan Kinestetik (VAK) yang membabitkan gaya belajar menggunakan deria penglihatan (visual), mendengar (auditori) dan gerakan (kinestetik).

Kaedah Gaya Belajar VAK

1. Kaedah gaya belajar secara visual dapat diaplikasi menggunakan media interaktif yang menarik melalui huruf, saiz teks, font warna, imej dan grafik.

2. Gaya pembelajaran secara auditori pula memerlukan bahan bantu mengajar yang menggabungkan imej dan suara jelas supaya maklumat yang diterima oleh murid khas dapat difahami serta diingati dalam jangka panjang.

3. Gaya belajar kinestatik memerlukan murid khas melaksanakan secara langsung (hands-on), kebiasaannya guru khas melaksanakan pengajaran dalam mata pra vokasional iaitu masakan, jahitan dan pertanian.

Gabungan gaya belajar menggunakan VAK berjaya dilaksana semasa PdPR kepada murid kategori austime, down syndrome, lembam dan hyperaktif melalui penggunaan rakaman video dan pautan di Youtube. Pada masa yang sama penilaian hasil pembelajaran turut menggunakan 'google form' dan aplikasi pembelajaran, wordwall.

Sementara itu, bagi kategori pelajar berkeperluan khas Kurang Upaya Penglihatan dan Kurang Upaya Pendengaran, tidak begitu sukar mengajar mereka kerana silibus diguna pakai adalah sama dengan pelajar arus perdana dengan bantuan berasaskan teknologi serta bantuan modul mata pelajaran.

Cuma cabaran besar dihadapi guru pendidikan khas adalah ketika mendidik pelajar yang berdepan masalah pembelajaran, seperti autisme, disleksia, lembam, sindrom down, kurang upaya intelektual, spastik, hiperaktif serta gangguan mental.

Bagaimanapun, berbekalkan kemahiran dan pengalaman mengajar dimiliki mereka, guru pendidikan khas tahu membezakan teknik paling sesuai diadaptasikan mengikut kategori permasalahan pelajar ketika PdPR. Berikut adalah beberapa kaedah yang digunakan;

1. Jika pelajar itu berkeupayaan mendengar, seperti masalah penglihatan guru akan menggunakan aplikasi Google Classroom untuk mengajar serta memberi arahan.

2. Bagi pelajar kurang upaya penglihatan, PdPR dikendalikan menggunakan perisian Job Access With Speech (JAWS) untuk membolehkan mereka menulis dan membaca perkongsian diberikan guru dalam tulisan Braille, malah mencetak bahan menggunakan mesin khas.

3. Jika membabitkan pelajar kurang upaya pendengaran, guru perlu menggunakan teknik pengajaran visual, seperti video dengan medium komunikasinya adalah Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) ataupun Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM).

4. Pengendalian PdPR bersama pelajar autisme memerlukan guru memberikan arahan pendek, ringkas dan padat melalui video kerana mereka ini mengalami masalah pemahaman juga tumpuan yang terhad.

5. Bagi pelajar disleksia yang mempunyai masalah membaca pula, guru mendekati mereka melalui kaedah 'multisensory' iaitu bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi, pendengaran dan penulisan untuk memastikan tunjuk ajar diberi mampu dikuasai. Kaedah multisensory ini juga sesuai untuk kanak-kanak lembam, sindrom down, kurang upaya intelektual, spastik, hiperaktif serta gangguan mental.

Pengajaran yang berbentuk terapi juga boleh dilaksanakan melalui PdPR contohnya terapi pertuturan melalui aktiviti latihan pertuturan menggunakan multimedia yang interaktif.

Selain itu, PdPR membabitkan pelajar pendidikan khas ini perlu dilaksanakan secara interaktif dan pelbagai cara, seperti menggunakan video, gambar, saiz teks, reka bentuk skrin, warna, muzik dan permainan menarik supaya mereka tidak cepat bosan.

Walaupun dalam setiap kelas pendidikan khas hanya ada lima hingga lapan pelajar, tetapi masalah mereka berbeza, justeru bagi memastikan penyampaian PdPR mampu dikendalikan dengan berkesan, ibu bapa harus memberikan sokongan penuh dengan membantu anak mengikuti proses belajar, terutama apabila membabitkan pelajar berkeperluan bermasalah pembelajaran berkefungsian rendah aras rendah.

Satu hal yang boleh dikongsikan, dalam memastikan kaedah secara dalam talian lebih berkesan, KPM diharap dapat memberikan kursus dalam tempoh terdekat kepada guru pendidikan khas berhubung penyediaan bahan bantu mengajar berbentuk pelbagai media selari dengan IR 4.0 dalam masa yang sama memperkasakan pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif ini dicapai sebaik mungkin supaya dirasai oleh warga pendidik di Malaysia.

Ketika ini guru mengajar dengan menggunakan bahan yang mereka ubah suai dari kurikulum untuk disesuaikan dengan diri setiap murid, jadi sudah tiba masa mereka diberikan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi serta penyediaan bahan lebih interaktif serta menggunakan aplikasi mudah alih yang terkini.

Hal ini dapat membantu melancarkan PdPR sama ada daripada pihak guru atau murid.

Sumber : Berita Harian


Buaya Mamat muncul semula di Kuala Nerus

by

 

Penduduk Kampung Tepoh di Kuala Nerus, Terengganu gempar apabila seekor buaya tembaga digelar Mamat yang menghilang sejak empat tahun lalu muncul semula di sebuah bekas lombong dengan fizikal lebih besar dan kelihatan ganas.

Kelibat buaya jantan dengan anggaran berat lebih 100 kilogram dan panjang mencecah lapan meter itu dilihat ketika haiwan itu naik ke darat selepas diumpan dengan kepala ayam oleh seorang lelaki sebelum aksi tersebut dirakam dan dimuat naik ke laman Facebook.

Seorang penduduk, Yusof Mohamad, 49, berkata, sebelum ini, ramai menyangka buaya tembaga berusia enam tahun ber­kenaan sudah terlepas ke Sungai Terengganu selepas lama menghilangkan diri.

“(Buaya) Mamat menghilang setelah menggemparkan kami dengan sering timbul di tebing bekas lombong itu pada tahun 2017.

“Dulu memang jinak tetapi kini dengan fizikalnya yang sudah membesar amat merisaukan kami. Kemungkinan buaya ini boleh menjadi ganas selain risiko terlepas memasuki rumah penduduk pada musim tengkujuh,” katanya kepada ­Kosmo! di sini semalam.

Difahamkan buaya tembaga itu berasal dari Sungai Mangkuk, Setiu, sebelum dipelihara seorang lelaki ketika panjangnya 0.9 meter pada 2014.

Penjaganya yang bimbang dikenakan tindakan penguatkuasaan telah bertindak melepaskan reptilia ganas itu di sebatang anak sungai Bukit Petiti, Manir, Kuala Terengganu tiga tahun kemudian sebelum tersesat masuk ke bekas lombong di kampung lombong berkenaan.

Yusof berkata, sebelum ini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan bantuan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) cuba memasang perangkap di bekas lombong itu untuk menangkap Mamat tetapi gagal.

“Sebab itu kami ingat ia telah masuk Sungai Terengganu namun jangkaan kami meleset apabila muncul semula.

Sementara itu, Pengarah APM Terengganu Mohd. Rosman Abdullah berkata, Perhilitan negeri telah melakukan siasatan dan tindakan akan diambil dalam masa terdekat.

Beliau juga menasihatkan penduduk agar tidak menghampiri bekas lombong itu buat masa ini.

“Buaya tetap reptilia pe­mangsa yang boleh menjadi ganas bila-bila masa dan menjadi ancaman kepada keselamatan orang ramai khususnya penduduk kampung terlibat,” kata­nya. 

Sumber dari Kosmo!

Inflasi negara meningkat April 2021, tertinggi sejak 2018

by

 

Indeks Harga Pengguna (IHP), antara penanda aras utama kadar inflasi menunjukkan peningkatan 4.7 peratus pada bulan April lalu berbanding bulan sama tahun sebelumnya (2.9 peratus).

Laporan berkaitan IHP yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) turut menunjukkan kadar IHP bagi bulan lalu itu meningkat 0.2 peratus berbanding Mac lepas.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, ia merupakan inflasi tertinggi sejak tahun 2018 dan trend tersebut dijangka akan berterusan sehingga suku tahun pertama hadapan.

Katanya, enam negeri turut menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 4.7 peratus bagi tempoh sama iaitu Terengganu (6.3 peratus), Kelantan (5.7 peratus), Pahang (5.6 peratus), Kedah dan Perlis (5.1 peratus), Negeri Sembilan (5.0 peratus) serta Johor (4.9 peratus).

“Peningkatan IHP keseluruhan itu adalah didorong kenaikan indeks pengangkutan sebanyak 27 peratus yang disebabkan oleh kesan asas rendah pada tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mohd. Uzir berkata, Indeks Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain pula meningkat 3.1 peratus pada bulan sama tahun sebelumnya.

Menurutnya lagi, hal itu disebabkan penamatan diskaun elektrik yang diberikan kepada pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bermula April tahun lalu dan berakhir pada Disember tahun sama.

“Bagi Indeks Makanan dan Minuman Bukan Alkohol pula, ia meningkat 1.9 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya disebabkan oleh kekurangan bekalan, permintaan yang lebih tinggi dan ketidaktentuan cuaca,” katanya.

Beliau berkata, walaupun indeks keseluruhan meningkat tetapi indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal meningkat 0.7 peratus pada April 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Sumber : Kosmo!

Contoh Soalan Ujian SPiER Penolong Imigresen KP29

by

 

Ujian Sistem Pemprofilan Rekrutmen (SPiER) diumumkan perlaksanaan pada tahun 2018 oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan digunakan sepenuhnya pada tahun 2019. SPIER dibangunkan untuk mengenal pasti calon pengambilan yang mampu memenuhi kriteria terutama dari segi personaliti, integriti, kesihatan mental, kompetensi dan patriotisme.
.
Secara kasarnya, ianya adalah seakan sama dengan Ujian Psikometrik: Peperiksaan Online Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) yang biasanya dijalankan selepas calon melepasi tapisan peperiksaan online pihak SPA. Tetapi pihak KDN mengambil langkah yang lebih proaktif dengan mengandalikan penilaian yang lebih hampir jiwanya dengan jawatan di agansi bawah KDN.
.
Antara ujian SPIER yang berjalan sebelum ini adalah SPiER bagi Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).
.
Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) yang juga merupakan agensi di bawah KDN kali ini akan menggunakan SPiER bagi tapisan ambilan PENOLONG IMIGRESEN GRED KP29.
.
Peperiksaan akan dijalankan terus melalui laman sesawang rasmi pihak KDN iaitu https://psikom.moha.gov.my/spier/
 

Untuk mendapatkan rujukan dan contoh soalan Ujian Sistem Pemprofilan Rekrutmen (SPiER), dapatkan di : https://go.infotambahan.com/ujian-psikometrik/28

 

Jangan salah faham hukum tinggal solat Jumaat tiga kali

by

 

Umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak terpedaya dengan salah faham berkenaan hukum meninggalkan solat Jumaat lebih tiga kali seperti yang disebarkan menerusi media sosial akhir-akhir ini.

Ada segelintir pihak yang berkongsi potongan hadis kononnya seseorang itu dikira munafik sekiranya meninggalkan solat Jumaat lebih tiga kali.

Isu ini akhirnya mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri sebelum beliau tampil dengan pencerahan sebenar mengenai perkara itu menerusi buku bertajuk Soal Jawab Fiqh Covid-19 (edisi kemas kini) hasil tulisan beliau sendiri.

Zulkifli berkata, dakwaan bahawa kononnya meninggalkan solat Jumaat lebih tiga kali termasuk dalam golongan munafik adalah suatu salah faham yang jelas.

Menurutnya, benar terdapat hadis sedemikian tetapi ia perlu dibaca secara menyeluruh kerana dalam isu Covid-19, ia adalah satu wabak penyakit berjangkit.

“Justeru, ia lebih bersifat kemaslahatan umum yang kita disuruh untuk kuarantin dan duduk di rumah, maka ia perlu lebih lagi diutamakan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Zulkifli menegaskan bahawa perkara itu juga sudah dibincangkan bersama pihak-pihak seperti Kementerian Kesihatan dan juga pakar-pakar berkenaan.

“Maka, kami katakan golongan yang dicap sebagai munafik itu adalah mereka yang meninggalkan tiga kali Jumaat dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran.

“Sedangkan situasi yang berlaku sekarang adalah umat Islam sedang berada dalam keadaan darurat kesihatan disebabkan penularan wabak penyakit perjangkit Covid-19,” katanya.

Justeru, katanya, beliau dengan rendah diri merayu agar seluruh umat Islam di negara ini kekal meletakkan kepatuhan yang tinggi terhadap arahan kerajaan dan fatwa pihak berkuasa agama.

Pencerahan sebenar mengenai hukum solat ini boleh dimuat turun di pautan https://mira.gov.my/wp-content/uploads/2020/09/FIQH-COVID_Kemas-Kini-1_compressed-1.pdf

Sumber dari Kosmo!

Pendaftaran nombor cukai pendapatan melalui e-Daftar

by

 

Pendaftaran nombor cukai pendapatan melalui perkhidmatan e-Daftar dan penetapan serta pertukaran prefix baharu bagi pembayar cukai individu (SG dan OG) kepada prefix IG bermula Selasa ini, 18 Mei 2021.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata, pendaftaran nombor cukai pendapatan bagi pembayar cukai kategori Koperasi (CS), Pertubuhan (F), Badan Amanah (TA), Unit Amanah/Amanah Harta Tanah (TC), Amanah Perniagaan (TN) dan Amanah Pelaburan Harta Tanah/Tabung Amanah Harta (TR) boleh dilakukan secara dalam talian melalui e-Daftar yang boleh dicapai menerusi pautan https://edaftar.hasil.gov.my/.

Sebagai rekod, katanya, perkhidmatan e-Daftar ketika ini hanya terhad kepada SG dan OG, syarikat (C), perkongsian (D), majikan (E) dan perkongsian liabiliti terhad (PT).

"Mulai Selasa ini juga LHDN akan melaksanakan penetapan prefix baharu bagi pembayar cukai individu iaitu daripada prefix SG dan OG kepada prefix IG. Proses penetapan prefix ini membabitkan dua fasa iaitu bagi pertama akan dilaksanakan terhadap pembayar cukai individu yang baharu didaftarkan melalui sistem LHDN.

"Fasa kedua pula membabitkan pertukaran prefix bagi pembayar cukai individu sedia ada secara berperingkat mulai Selasa ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

LHDN berkata, pertukaran prefix ini tidak membabitkan sebarang perubahan terhadap nombor cukai pendapatan individu sedia ada dan tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata bagi individu juga kekal iaitu 30 April setiap tahun bagi individu tidak menjalankan perniagaan dan 30 Jun setiap tahun bagi individu yang menjalankan perniagaan.

Katanya, pertambahan kategori pembayar cukai yang boleh didaftarkan melalui perkhidmatan e-Daftar ini satu daripada inisiatif di bawah Transformasi Hasil (TH) sebagai usaha berterusan LHDN meningkatkan mutu perkhidmatannya kepada pembayar cukai.

Penetapan dan pertukaran prefix SG dan OG kepada IG bagi pembayar cukai individu pula dapat memudahkan pengurusan pembayar cukai serta mengelak kekeliruan dalam kalangan pembayar cukai individu.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (luar negara), HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/;

 

 

Larangan rentas negeri dan daerah 10 Mei hingga 6 Jun 2021

by

 

Semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara tidak dibenarkan, berkuat kuasa Isnin ini hingga 6 Jun 2021 ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sepanjang tempoh itu juga aktiviti berkaitan sosial, pendidikan dan ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan atau kesesakan awam, adalah tidak dibenarkan.

"Ini termasuk aktiviti rasmi, sosial dan aktiviti bersemuka oleh kerajaan serta swasta.

"Bagaimanapun, keputusan ini akan disemak semula selepas dua minggu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, semua bazar Ramadan dan Aidilfitri dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditutup mulai Isnin ini.

Beliau berkata, bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) akan ditutup tiga hari berkuat kuasa serta- merta.

"Kerajaan pernah memberi amaran prosedur operasi standard (SOP) akan diperketatkan di semua kawasan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekiranya kes COVID-19 meningkat di seluruh negara.

"Ketika ini, kerajaan sentiasa meneliti SOP dan sekiranya berlaku pertambahan kes harian, kerajaan akan mendapatkan nasihat dan penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membolehkan SOP itu diperketatkan," katanya.

Beliau berkata, trend penularan COVID-19 dalam negara semakin membimbangkan ditambah dengan penemuan varian baharu virus itu.

Katanya, ia menyebabkan beberapa negeri melaksanakan PKP secara bersasar seperti Kedah, Selangor, Johor dan terbaharu Pulau Pinang serta Pahang, susulan beberapa kawasan di negeri berkenaan bertukar menjadi zon merah.

"Bagi memastikan tiada kekeliruan, segala keputusan dan pengumuman pelaksanaan PKP di mana-mana kawasan atau negeri akan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan selepas ia diputuskan dalam sidang mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Gambar Makam Nabi Ibrahim diedarkan buat pertama kali

by

 

Arab Saudi mengedarkan imej Makam Nabi Ibrahim yang tidak pernah didedahkan kepada umum sebelum ini, sehari selepas mengeluarkan imej batu Hajarul Aswad.

Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci, yang dipetik Saudi Gazette, menjelaskan gambar beresolusi tinggi makam di Masjidil Haram itu diambil menggunakan teknik baharu 'stacked panoramic focus', sama seperti gambar Hajarul Aswad.

Makam berkenaan turut merangkumi batu yang mengabadikan bekas tapak kaki Nabi Ibrahim ketika berdiri untuk membina Kaabah apabila temboknya semakin tinggi.

Batu berkenaan dilitupi emas, perak dan diletakkan dalam bingkai bercermin bagi memelihara jejak kaki Nabi Ibrahim.

Dalam siri ciapan yang dimuat naik di akaun Twitter, Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci turut menyertakan beberapa keping gambar yang menampilkan sisi tempat suci itu, yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Menurut penjelasan pada gambar, Makam Naib Ibrahim itu adalah sebutir delima dari syurga, yang terletak di depan pintu Kaabah, iaitu antara 10 hingga 11 meter di timur Kaabah, menuju ke Safa dan Marwah.

Presiden menjelaskan bahawa tempat suci itu ialah batu arkeologi segi empat itu berukuran 40 sentimeter (sm) panjang, 20 sm tinggi dan 20 sm lebar, di mana Naib Ibrahim berdiri ketika pembinaan dinding Kaabah semakin tinggi.

Warna batu itu ialah kekuningan dan putih kemerahan, dengan bekas tapak kaki berukuran 27 sm panjang dan 14 sm lebar terletak di tengah batu berkenaan.

Berdasarkan kepercayaan Islam, Allah menurunkan Batu Hitam dan batu makam itu dari syurga kepada Naib Ibrahim serta Ismail, selepas mereka diarahkan untuk mengangkat tapak Kaabah.

Batu ditanda kesan dua bekas tapak kaki dan menurut sejarah, ia kekal berada di sisi Kaabah sebagai antara mercu tanda utama Makkah.

Apabila Nabi Muhammad menawan kota Makkah, baginda dan teman-temannya mengambil keputusan untuk mengalihkan batu itu dari lokasi asal berdekatan Kaabah ke lokasi sekarang, sejauh lebih 10 meter.

Ia dilakukan bagi memudahkan urusan melakukan tawaf dan memberi ruang kepada orang ramai untuk solat di belakang batu suci itu, seperti terkandung dalam al-Quran.

Berdasarkan sejarawan, pemimpin pertama yang menutup batu suci itu ialah Khalifah Abbasiyah, Al-Mahdi dan Khalifah Al-Mutawakkil pula menutupnya dengan emas serta perak bagi mengangkat martabatnya.

Pada era Arab Saudi, khususnya pemerintahan Raja Faisal, kerja memperluaskan kawasan itu dilakukan dan beberapa struktur dikeluarkan bagi melancarkan urusan ibadat tawaf.

Di sekeliling batu Makam Nabi Ibrahim itu dikemaskan dengan saduran emas dan ikatan bingkai perak serta dan dilindungi tirai besi.

 

Gambar Hajarul Aswad diedar untuk tatapan umum

by

 

Pihak berkuasa Arab Saudi mengedarkan imej terperinci Hajarul Aswad, gambar paling istimewa dari tapak arkeologi terpenting di Masjidil Haram di Makkah.

Presidensi Hal Ehwal Dua Masjid Suci itu, yang dipetik Arab News, berkata 1,050 gambar Batu Hitam dan tempat suci Nabi Ibrahim diambil menggunakan teknologi Fox Stack Panorama.

Kaedah itu menggabungkan imej dengan tahap kejelasan yang berlainan bagi menghasilkan sebuah gambar beresolusi tinggi dari batu yang dikenali sebagai Hajarul Aswad.

Sebanyak 49,000 imej megapixel diambil selama tujuh jam dan memerlukan tempoh selama berminggu-minggu untuk disunting.

Ini adalah kali pertama pihak berkuasa Arab Saudi mendedahkan gambar Hajarul Aswad secara terperinci.

 



Ketua Setiausaha Projek dan Agensi Kajian Kejuruteraan, Sultan Ati Al-Qurashi, berkata pihak berkuasa berminat menggunakan teknik terkini teknologi pengimejan kerana sejarah Hajarul Aswad amat penting kepada umat Islam.

"Kita mahu merekodkan gambar Batu Hitam dan makam Nabi Ibrahim secara terperinci dari segi teknikal dan dimensi kejuruteraan menggunakan pencetak 3D.

"Pihak kami sedang membangunkan pameran secara maya mengemukakan semua penemuan arkeologi ini dalam model 3D, merangkumi 123 artifak dari Muzium Senibina dua Masjid Suci," katanya.

Batu berwarna hitam kemerahan yang berbentuk bujur dengan ukuran rentas 30 sentimeter (cm) itu terletak di sudut tenggara Kaabah dan menjadi titik permulaan dan tamatnya tawaf.

Kedudukannya Hajarul Aswad adalah 1.5 meter tinggi dari permukaan tanah dan diletak dalam bingkai perak untuk melindunginya.

 

 

SOP Sambut Aidilfitri untuk PKP, PKPD. PKPP & PKPB

by

 

Aktiviti kunjung-mengunjung sempena sambutan Aidilfitri dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard SOP Aidilfitri yang ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tempoh masa dan jumlah pengunjung berbeza di kawasan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

"Bagi kawasan PKP, ianya dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dengan kehadiran tidak melebih 15 orang pada satu masa mengikut saiz rumah dan mematuhi penjarakan fizikal.

"Bagi kawasan PKPB dan PKPP, ziarah hari raya dibenarkan iaitu pada 1 sehingga 3 Syawal. 

"Di kawasan PKPB kehadiran terhadap 20 orang bagi satu masa manakala di kawasan PKPP kehadiran tetamu tak melebihi 25 orang mengikut saiz rumah dan ada penjarakan fizikal.

"Jika rumah kecil dan tidak boleh lakukan penjarakan fizikal, jumlah 25 orang terlalu ramai maka kita tidak benarkan," katanya pada sidang media, hari ini.

Bagaimanapun, bagi kawasan PKP Diperketatkan (PKPD), Ismail Sabri berkata kerajaan tidak membenarkan pengunjung luar dan sambutan tertakluk ahli keluarga dalam rumah sahaja.

Mengenai kebenaran solat sunat Aidilfitri, Ismail Sabri berkata ia tertakluk masjid dan surau yang terletak di kawasan PKP, PKPB dan PKPP sahaja.

Beliau bagaimanapun berkata masjid dan surau di kawasan PKPD tidak dibenarkan menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Mengulas lanjut, katanya ketetapan SOP solat sunat Aidilfitri akan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

"Bagi menentukan siapa boleh hadir sama ada ada wanita atau kanak-kanak, ia terletak di bawah keputusan pihak berkuasa agama negeri akan memaklumkan kepada setiap masjid dan surau di negeri masing-masing," katanya.

Menjelaskan amalan takbir solat sunat Aidilfitri dari rumah ke rumah, Ismail Sabri berkata aktiviti itu juga tidak dibenarkan di semua kawasan PKP, PKPD, PKPB dan PKPP.

Bagi penganjuran rumah terbuka sempena Aidilfitri, jelasnya ia tidak dibenarkan di kawasan PKP, PKPD, PKPB dan PKPP.

Selain itu, Ismail Sabri berkata jamuan selepas solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau di kawasan PKP dan PKPD turut dilarang.

Bagaimanapun katanya, jamuan berkenaan dibenarkan dianjurkan di masjid dan surau membabitkan kawasan PKPB serta PKPP.

"Jamuan hari raya di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan tertakluk pada (ketetapan) pihak berkuasa agama negeri.

"Jawatankuasa masjid dan surau digalakkan walaupun pihak berkuasa agama negeri boleh tentukan tetapi kita galakkan atau nasihatkan juadah berbungkus diedarkan kepada jemaah untuk dibawa pulang," katanya.

Mengulas lanjut aktiviti ziarah kubur sempena sambutan Aidilfitri, Ismail Sabri berkata kerajaan membenarkan aktiviti itu namun hanya di kawasan PKPB dan PKPP dengan pematuhan SOP seperti ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau berkata berkata aktiviti ziarah kubur di kawasan PKP dan PKPD adalah tidak dibenarkan.

"Ziarah tanah kubur bagi kawasan PKPB dan PKPP dengan syarat. Hadnya tidak melebihi enam orang bagi satu lot atau petak kubur serta tidak melebihi 30 minit," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Rawatan Dengkur

by

 

Di pasaran ada pelbagai alat bantuan yang dikatakan dapat mengurangkan atau mengatasi masalah berdengkur.

Antara yang sering didengar adalah alat tampalan yang dikatakan mampu mengembangkan ruang saluran pernafasan yang tersumbat.

Malah, ada juga yang mengamalkan sapuan minyak angin di dada atau bahagian hidung dengan harapan cara itu dapat membuka laluan pernafasan yang tersumbat.

Hakikatnya, perkara itu adalah sebahagian daripada mitos atau penerangan tidak tepat kerana dengkur adalah masalah disebabkan aliran pernafasan separa terhalang di bahagian tekak yang mengakibatkan tisu-tisu di dalamnya bergetar.

Halangan itulah membuatkan seseorang itu berdengkur.

Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) Avisena Specialist Hospital, Dr Iqbal Farim Rizal Wong berkata, setakat ini tiada bukti atau kajian saintifik menunjukkan kaedah meletakkan alat tampalan pada hidung berkesan merawat masalah berdengkur.

Beliau berkata, dengkuran berlaku apabila seseorang berdepan masalah sistem pernafasan di antara hidung dan tekak.

Maka, kaedah tampalan atau sapuan ubat pada permukaan kulit tidak mampu memberi kesan kepada pesakit.

“Cara yang paling berkesan adalah pesakit perlu berjumpa dengan pakar ENT bagi mengenal pasti rawatan bersesuaian dengan mereka kerana setiap individu memerlukan cara rawatan yang berbeza mengikut ciri fizikal masing-masing.

“Ada pesakit yang mengalami masalah dengkuran akibat struktur muka tidak normal atau obesiti yang teruk. Maka, ini adalah antara faktor yang menjadi sandaran untuk pakar memberikan rawatan yang sesuai,” katanya.

Beliau menambah, masalah berdengkur boleh dibahagikan kepada dua tahap iaitu kerap berdengkur walaupun tidur sekejap dan jarang berdengkur.

Berdengkur sekali sekala dianggap perkara normal bagi kebanyakan orang.

“Paling membimbangkan ialah mereka yang kerap berdengkur kerana ia bukan saja menjadi masalah sosial tetapi mampu mengakibatkan apnea tidur iaitu keadaan di mana pernafasan terhenti selama 10 saat atau lebih secara berulang-ulang sepanjang malam,” katanya.

Lebih membimbangkan apnea tidur itu mampu memberi kesan yang lebih teruk kepada tahap kesihatan kerana ia boleh memberi tekanan kepada jantung dan paru-paru, sekali gus mengakibatkan peningkatan tekanan darah, menaikkan risiko mengalami strok, kencing manis dan sakit jantung.

Katanya, apnea tidur berlaku kepada individu mengalami masalah obesiti teruk, kehadiran lebihan tisu pada tekak dan bentuk rahang yang tidak normal menjadikan ruang udara di dalam mulut mudah tertutup apabila tidur.

“Apabila seseorang mengalami apnea tidur, mereka juga akan tersedar secara mengejut kerana tercekik ketika tidur.

“Ia mengakibatkan pesakit tidak mendapat tidur mencukupi dan boleh menyebabkan tekanan kepada mental dan fizikal seseorang,” katanya.

Dari segi rawatan, Dr Iqbal berkata, doktor akan memeriksa keadaan pesakit melalui ujian endoskopi bagi melihat struktur tekak dan hidung selain struktur muka.

Jelasnya, selepas mengenal pasti punca masalah itu, pakar akan menjalankan ujian tidur bagi memastikan diagnosis apnea tidur. Berbekalkan maklumat itulah, pakar boleh mengesyorkan rawatan sesuai.

Secara amnya, rawatan apnea tidur boleh dibahagikan kepada rawatan konservatif menggunakan mesin ‘continuous positive airway pressure’ (CPAP) atau pembedahan.

“Mesin CPAP berfungsi dengan menghembuskan udara semasa pesakit menarik nafas ketika tidur dan ia mampu memberi oksigen secukupnya untuk badan serta membuka halangan pernafasan yang mengakibatkan dengkur.

“Kedua, kita boleh melakukan pembedahan pada lelangit bagi mengurangkan getaran tisu tekak apabila pesakit bernafas ketika tidur. Semua rawatan ini bergantung kepada kesesuaian setiap orang,” katanya.

Menurutnya, semua individu boleh berdepan dengan masalah dengkuran termasuk kanak-kanak. Bagaimanapun bagi si kecil, dengkuran selalunya disebabkan kelenjar tonsil dan adenoid yang besar pada tekak dan hidung.

“Selalunya kanak-kanak yang berdepan masalah tonsil besar ini berusia antara tiga hingga 10 tahun. Jika tidak dirawat melalui pembedahan berkemungkinan boleh memberi kesan kepada tahap kesihatannya,” katanya.

Selain kelenjar tonsil dan adenoid yang besar, apnea tidur pada kanak-kanak juga kerana Sindrom Pierre-Robin. Ini adalah sindrom apabila kanak-kanak dilahirkan dengan tulang rahang yang amat kecil dan mengakibatkan saluran pernafasan menjadi sempit. Bagaimanapun, kes seperti ini jarang berlaku.

Sumber : Harian Metro

 

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90