Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label personaliti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label personaliti. Papar semua catatan

Popular di TikTok, Dr Samhan kendali tujuh klinik

by


Bangkit dan dikenali di era pasca COVID-19, pemilik tujuh buah klinik dan pempengaruh terkenal, Dr Ahmad Samhan Awang, 37, mengakui bukan perjalanan mudah untuk berada di tahap sekarang.

Pelbagai ujian harus ditempuhi hingga pernah berdepan detik cemas nyawanya seperti telur di hujung tanduk saat diuji dengan penyakit Ameloblastoma atau ketumbuhan rahang pipi sekitar tujuh tahun lalu.

"Pembedahan mengambil masa 12 jam dengan kos keseluruhan RM20,000. Ketika diuji itu saya sendiri pasrah kerana selama ini tidak mempunyai masalah kesihatan. Tuhan menguji tak pernah terhenti," kata penerima TikTok Malaysia Popular Creator Award 2021 itu.

Menurut Dr Samhan lagi, fasa memeritkan lagi ialah selepas pembedahan seperti didedahkannya di https://vt.tiktok.com/ZSLpBFFMo/.

"Saya tak boleh bercakap langsung sebab leher saya ditebuk di bawah kotak suara. Tak boleh makan kerana gigi diikat dan hanya minum susu melalui hidung selain membuang najis menerusi tiub.Bahkan saya tak boleh berjalan selepas tulang betis diambil.

"Bahkan saya kali pertama meminum susu melalui hidung. Tak selesa tapi kena reda. Selang beberapa minit kemudian, perut mula tak selesa.

"Ada suatu ketika saya sesak nafas sekitar jam 3 pagi. Terkesan hanya Tuhan saja tahu. Saya yang tak boleh bersuara hanya mampu menggoncangkan katil sebagai isyarat. Akhirnya goncangan katil itu disedari seorang jururawat. Dia seterusnya menyedut kahak dan saya kembali boleh bernafas," katanya.

Kata Dr Samhan lagi ketika bergelut dengan detik cemas itu nafasnya terhenti.

"Mata saya terbeliak. Saya terus mengucap dalam hati. Mungkin ini pengakhiran buat saya.

"Saya berdoa dalam hati kepada Allah, jika ini pengakhiran bagiku akhiri aku dengan sebaik-baik pengakhiran. Jika tidak, panjangkan umur aku untuk aku beri manfaat pada orang lain.

"Alhamdulillah dengan izin Allah, saya dipanjangkan umur," katanya.

Malah, laluannya untuk bergelar doktor juga bukan mudah kerana harus melalui 10 tahun perjuangan dan kehidupan tanpa kenal erti putus asa.

"Dengan keputusan matrik 4 flat, saya terus ditawarkan dalam bidang perubatan di sebuah universiti tempatan. Bagaimana ketika pengajian memasuki tahun ketiga dan keempat, saya gagal dua kali.

"Bererti kegagalan itu akan membuatkan saya 'dibuang' dari universiti dan tak boleh meneruskan bidang perubatan. Ibu bagaimanapun meminta saya membuat surat rayuan. Bagaimanapun rayuan itu ditolak bulat-bulat oleh dekan. Surat itu tidak dibaca, malah terus dibuang ke tong sampah.

"Ibu saya berlinang air mata. Namun saat itu, saya berjanji kepada diri untuk tidak lagi membiarkan air mata ibu menyentuhi bumi lagi disebabkan kegagalan saya," katanya.

Dipendekkan cerita, saya berpeluang melanjutkan pengajian perubatan di Mesir pada 2010.

"Saya bagaimanapun terpaksa bermula dari tahun pertama kembali. Alhamdulillah, sepanjang tempoh pengajian, saya tak pernah mengulang tahun dan menamatkannya dengan keputusan baik.

"Malah setiap kali rasa lemah semangat untuk belajar, terbayang muka ibu. Jadi saya terus kembali bersemangat. Tiap kali rasa nak berhenti kerja masa 'housemen', teringat janji pada diri, terus rasa semangat. Doa ibu sentiasa mengiringi diri ini," katanya.

Menyingkap kerjayanya kini sebagai doktor dan pempengaruh, Dr Samhan menjelaskan ia bukan tugas mudah.

"Namun, saya gembira kerana impian jadi doktor dan memberi manfaat kepada orang ramai dalam masa sama dapat direalisasi. Dua tahun lalu juga saya menemui dan meneroka platform Tiktok.

"Saya juga harus membiasakan rutin merakam dan menyunting video sendiri. Malah tugas memuat naik di laman sosial juga saya lakukan sendiri. "Tanpa diduga, kandungan yang saya muat naik mendapat tontonan berjuta-juta dan dikongsi ramai. Malah dalam tempoh enam bulan, saya meraih 1 juta pengikut di TikTok," katanya.

Dr Samhan berkata lagi, dia gembira dan terharu kerana perkongsian bermanfaat dilakukannya menjadi asbab kebahagiaan orang lain.

"Ada yang komen mengucapkan terima kasih kerana perkongsian dibuat mengubah skala hidup mereka. Malah tak ketinggalan mendoakan apa saya lakukan sebagai asbab untuk masuk syurga.

"Justeru, kata-kata indah itu menjadi pembakar semangat untuk saya meneruskan apa yang dimulakan. Hidup saya seharian takkan lengkap tanpa memuat naik video bermanfaat. Jadi sekurang-kurangnya kena ada video manfaat setiap hari untuk dikongsi," katanya.

Dalam masa sama, Dr Samhan juga berentap sebagai calon dalam Anugerah TikTok 2023 berlangsung Ahad ini bagi kategori Best Of Education.

"Saya teruja dan bersyukur di atas pencalonan ini. Orang kata sudah tercalon itu cukup baik. Tapi kalau menang itu bonus. Namun menang atau kalah, bukan noktah untuk saya terus berkongsi perkara manfaat.

"Malah di sebalik ujian saya lalui, saya kenal erti untuk tidak putus asa. Ia kekuatan kita. Tak lupa minta dititipkan doa ibu yang diumpamakan seperti keberkatan dalam hidup kita," katanya.

Hingga kini Dr Samhan mempunyai 1.5 juta pengikut di TikTok, 645,000 (Facebook),240,000 (telegram), 165,000 (Instagram) dan 70,000 (Twitter).

Sumber dari Berita Harian

Sikap positif Mashy NM Aircond jadi perhatian

by


Hilang penglihatan lepas accident, kisah kecekalan & sikap positif Mashy tular, buat ramai muhasabah diri.
Figura wanita hebat ini menjadi tumpuan di sebuah laman sosial perkongsian video.
Kata-kata positif Masitah Mohd Afandy atau dikenali sebagai Mashy tentang kemalangan dan keadaan diri selepas cedera parah dalam kemalangan pada 21 Mac lalu menyentuh hati ramai.
Siapa sangka wanita manis yang sering menitipkan kata-kata bersemangat itu melalui satu tragedi hingga mengakibatkan kehilangan keupayaan beberapa bahagian tubuh.
Segalanya bermula apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki co-founder NM Aircond Electrical & Cleaning Services itu dirempuh lori 15 tan di Kilometer 193.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah Selatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, Mashy yang dalam perjalanan dari Sabak Bernam untuk pulang ke Johor Bahru, cedera parah.
Kemalangan dahsyat itu mengorbankan salah seorang staf, Muhammad Quzaimi Izzaudin Mahmod yang turut cedera parah sebelum meninggal dunia.
Menurut Mashy, kenderaan dinaiki tidak berfungsi. System down menyebabkan MPV itu tidak dapat dikawal dan menghentam ke kiri jalan. Ketika itu sistem beg udara (airbag) juga tidak berfungsi.
Ditakdirkan sebuah lori 15 tan tiba-tiba merempuh hingga menyebabkan kenderaan itu remuk teruk.
Susulan kemalangan, Mashy mengalami pelbagai kecederaan termasuk luka pada kepala. Keretakan pada bahagian kiri kepalanya itu terpaksa ditutup menggunakan plat.
Manakala wajahnya tidak sekata yang mana sebelah kanan agak tenggelam susulan kecederaan pada bahagian mata. Secara keseluruhan sembilan plat ditanam pada wajah dan kepala.
Pahanya yang ‘patah tebu’ dan hingga kini masih dalam proses pemulihan. Mashy dijangka perlu mengambil masa sekurang-kurangnya lima bulan sebelum boleh berjalan semula.
Yang paling besar sekali berlaku selepas kemalangan ialah saya kehilangan deria penglihatan. Alhamdulillah telah direzekikan merasai pengalaman menjadi seorang orang kelainan upaya buta.
Hidung masih belum boleh menghidu. Hidung ini adalah hidung implan. Alhamdulillah, ujarnya
Menurut Mashy, kehilangan penglihatan menjadikan deria lain sensitif.
Wanita ini turut meluahkan tentang cetusan rasa mengenai dirinya pasca kemalangan.
Bila tak nampak kita kurang judge orang dan saya bertanya kepada ALLAH.
ALLAH adakah kerana ujian penglihatan ini saya dapat masuk syurga? Kalau ya saya redalah, tutur wanita kecil molek ini.
Berhadapan perubahan baru yang besar kepada kehidupan selepas kemalangan, Mashy bijak beradaptasi dan menyesuaikan diri.
“Saya belajar benda baru. One of the best thing happened is I have story to tell.
“Pengalaman menjadi seorang yang tidak lagi mampu melihat pertama ialah boring, pada awalnya sangat membosankan. Ya lah, buka mata gelap, tutup mata pun gelap.
“Sekarang penglihatan saya lalui ialah buta yang memang total darkness seolah-olah saya tutup mata,” ujarnya melalui perkongsian di laman sosial.

44 hari selepas berdepan kemalangan yang dahsyat, Mashy mula belajar menulis kembali.

Satu perkara yang menjadi kerinduan wanita itu ialah tidak dapat menatap wajah suami tercinta lagi.

“Saya paling rindu nak tengok muka husband. Setiap pagi saya buk mata akan tercari-cari muka suami dan masih tidak berpeluang untuk tengok lagi.
“But I believe one day insya-ALLAH dengan izin-NYA saya boleh menatap kembali wajah suami. Jika tidak di dunia, di sana (akhirat) nanti.
“Saya juga rindu nak tengok muka mak dan team. Look into their eyes and understand their feelings, dengar sharing mereka dan sebagainya ,” ujar Masyi.
Sebagai tulang belakang syarikat, Mashy juga merindui untuk melihat hasil kerja kaki tangannya.
Tidak berputus asa, Mashy menitipkan terima kasih buat rakan-rakan, ahli keluarga, team dan warganet yang sentiasa prihatin terhadap dirinya.
“Alhamdulillah I’m good, I’m doing fine. I can’t wait be back, cuma saya kena akui healing process take times.
“Harapan saya kepada semua agar jangan rasa cabaran dalam kehidupan ini adalah a stop. Pada saya ia adalah new beginning.
“Bercakap dengan teman rapat semalam, saya kata ALLAH sedang bergurau dengan saya kerana ALLAH beri saya satu tempoh masa yang saya happy, saya ketawa boleh melihat wajah saya, bercinta dengan suami, boleh menjalankan perniagaan. Banyak perkara boleh saya buat.
Tutur Masyi, ALLAH menguji dengan ‘mencabut’ penglihatannya untuk melihat sama ada beliau masih positif dan bersangka baik.
“Saya ingin membuktikan, bukan kepada orang lain tetapi kepada ALLAH yang saya sangat bersyukur atas segala kurniaan-NYA atau apa yang telah DIA ambil daripada saya.
“I will be insya-ALLAH the best version of Masitah. Ini bukan pengakhiran, saya melihat bahawa ini adalah ‘level-up’ lazimnya seperti di dalam permainan (game).
“Saya berjanji kepada ALLAH akan bermain dengan sangat baik dan lebih baik.
“Saya berjanji insya-ALLAH tidak diberikan penglihatan tidak akan mengurangkan manfaat yang akan saya berikan kepada lebih ramai orang,” ujar Masyi.
Suri hati Nik Nazri Abidin itu turut berjanji akan terus memberikan inspirasi kepada orang lain.
Sumber dari Sinar Harian

Kisah sejarah Samy Vellu turunkan bendera Indonesia

by

 


Kalau sebut nama mendiang Tun Samy Vellu, kemungkinan generasi baharu seperti generasi Z, generasi TikTok dan mungkin juga generasi Twitter tidak kenal siapa sosok ini.

Selain pernah memegang portfolio Menteri Kerja Raya paling lama, Presiden MIC serta beberapa meme audio seperti “ini semua kerja gila, banyak orang sudah gila masuk hospital Tanjung Rambutan atau Tampoi..”.

Samy Vellu pernah menggegarkan tanah air pada tanggal 31 Ogos 1963 apabila pernah membuat ‘kerja berani’ dengan memanjat kedutaan Indonesia untuk menurunkan bendera naegara tersebut dan digantikan dengan Jalur Gemilang.

Menerusi satu perkongsian di akaun Facebook Khairul Azri, kisah tersebut berlaku apabila Malaya isytihar nak bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak dan dipanggil Malaysia ketika tarikh tersebut.

Apabila pengumuman tersebut dibuat, maka kecoh satu Asia Tenggara ketika itu dan Indonesia serta Filipina pernah mengadu kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pengishtiharan gabungan Malaysia terpaksa ditunda kepada satu tarikh baru iaitu pada 16 September 1963.

Ketika itu Indonesia dan Filipina masih marah, serta kisah amukan rakyat Indonesia bakar kedutaan Malaya di Medan juga turut kedengaran ketika itu.

“Bila dengar kedutaan kita kena bakar, rakyat kita berbalas dengan pergi pula kedutaan Indonesia di Malaya dan dalam ramai-ramai anak muda masa tu, yang menarik perhatian adalah Khalid Yunus (bekas Menteri Belia dan Sukan) dan Samy Vellu.

“Khalid Yunus dengan Samy Vellu masa tu baru umur 20 dan 27 tahun, mereka panjat kedutaan turunkan bendera Indonesia, naikkan bendera Malaysia.

“Paling hebat haritu adalah bila Khalid Yunus yang awalnya datang sebagai pemberita Utusan Melayu untuk buat liputan tentang tunjuk perasaan tersebut. Tapi dengan dia sekali pun naik angin,” tulisnya.

Bukan itu sahaja, mereka heret bendera tu naik skuter dari Jalan Ampang sampai rumah Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri) di Jalan Dato’ Onn.

“Bila sampai rumah Tunku mereka suruh Tunku keluar, mula mula Tunku tidak mahu, mereka paksa usung dan suruh Tunku pijak bendera pancasila itu.

“Lepas itu, memang kecohlah, keluar akhbar semua Tunku pijak(duduk) atas Pancasila. Soekarno (Presiden) apa lagi tunjuk mengamuk dan kutuk perbuatan Tunku yang konon dah pijak lambang negara Indonesia dan guna peluang ni dengan lancarkan gerakan Ganyang Malaysia,” jelasnya.

Sumber dari Kosmo!

Rendah diri tiada kelopak mata, kini jadi tauke produk

by

 


Menghidapi Sindrom Blepharophimosis atau kelopak mata tidak normal bukan penghalang wanita ini berjaya dalam hidup, sebaliknya bangkit penuh bersemangat untuk menjadi usahawan cemerlang.

Usahawan, Nur Syahidah Aimullah Abdul Rahim, 32, berasal dari Ipoh, Perak menghidap sindrom itu sejak lahir dan disahkan akibat genetik berikutan bapanya juga menghidap sindrom yang sama, selain adik perempuannya.

Anak sulung daripada lima beradik itu mengakui masalah dihadapinya itu membuatkannya tidak yakin, merasa rendah diri, malu dan takut untuk berhadapan dengan orang ramai sejak kecil.

Katanya, ini kerana orang ramai akan sentiasa melihat muka terutama pada bahagian kedua-dua matanya dan tertanya-tanya apa yang berlaku kepadanya.

"Sejujurnya sehingga sekarang apabila saya ke mana-mana saya akan sentiasa dipandang orang kerana mereka mungkin merasakan saya 'pelik'.

"Tetapi apabila sudah semakin dewasa saya sudah membiasakan diri dan jika ada yang bertanya, saya akan jawab dengan jujur sindrom dihadapi," katanya.

Nur Syahidah yang sudah berkahwin dan kini menetap di Kulim, Kedah berkata, walaupun tiada kelopak mata sejak kecil, ia bukan penghalang beliau melakukan rutin harian seperti orang lain.

Malah katanya, beliau hanya memakai cermin mata kerana silau.

"Tiada kelopak mata memang ada sedikit kekurangan sebagai contoh orang lain dapat melihat bangunan empat tingkat dari jauh dengan mudah dan jelas, tetapi berbeza dengan saya yang hanya dapat melihat tiga tingkat.

"Tetapi bukan halangan atau membuatkan pergerakan saya terbatas kerana saya masih boleh melakukan rutin sama seperti biasa," katanya.

Ada rawatan kosmetik untuk kelopak mata, tapi beliau merasakan tiada keperluan melakukannya.

Ketika ini, beliau selesa dengan keadaan yang dihidapi sejak kecil, selain menganggap diri istimewa berbanding orang lain.

"Jika pada masa akan datang sindrom ini mengganggu kesihatan saya seperti menyebabkan rabun teruk, saya akan membuat pembedahan yang sewajarnya," katanya.

Beliau yang sebelum ini berniaga kuih secara kecilan di rumah berkata, hidupnya kini berubah 180 darjah selepas menjadi juara pertandingan Resipi Berani Maggi musim kedua, pada Ogos lalu.

Katanya, program itu adalah sebahagian daripada Program Mentor Wanita Cukup Berani yang bertujuan memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk keluar daripada zon selesa dan mencuba sesuatu yang baharu.

Selain menerima wang tunai RM8,000, lebih menggembirakannya beliau menerima bimbingan peribadi selama lapan minggu bersama ikon usahawan Anne Idris.

"Kemenangan itu membolehkan saya kini mempunyai produk dengan jenama sendiri iaitu rendang dendeng daging yang juga hidangan pada pusingan akhir pertandingan berkenaan.

"Produk ini hasil bimbingan Anne yang membantu dari segi memfokuskan pada peningkatan perniagaan makanan, mengurus kecekapan kos dan strategi penjenamaan," katanya yang mengeluarkan daging dendeng Syahidah Food sejak dua bulan lalu.

Akuinya, bukan mudah untuk memulakan perniagaan dan pada bulan pertama jualan tidak memberangsangkan.

Namun, selepas menukar pembungkusan produk jualan dua kali ganda.

Katanya, beliau kini menjual rendang menerusi laman e-dagang popular serta laman sosial miliknya dan sering mempromosikan sendiri produknya.

"Saya yakin kekurangan saya ini bukan penghalang pencetus kejayaan pada masa akan datang," katanya.

Sumber Dari Berita Harian


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90