Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label pendidikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pendidikan. Papar semua catatan

Anak pembuat kuih raih 4A STPM

by


Kita ikuti kegigihan seorang pelajar sebelum berjaya di dalam STPM.

Bangun seawal jam 4 pagi setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran selama satu jam, diikuti membantu ibu bapa membuat kuih sebelum ke sekolah.

Itu rutin harian Aqilah Talib, 20, seorang daripada 112 pelajar terbaik Terengganu yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Anak bongsu daripada 10 adik beradik itu berkata, dia akan ke sekolah selepas membantu ibunya, Mariam Chik, 60, menyiapkan kuih sebelum bapanya, Talib Abdul Rahman, 70, menghantarnya ke kedai makan atau warung berhampiran.

Katanya, dia tidak menjadikan bangun seawal pagi sebagai alasan, sebaliknya membuatkannya terus bersemangat belajar untuk memperoleh keputusan lebih baik.

"Rutin harian saya dengan membahagikan masa ulang kaji pelajaran dan membantu ibu membuat kuih pada jam 5 pagi setiap hari untuk dihantar ke kedai makan.

"Saya mula bangun seawal jam 4 pagi setiap hari dengan mengambil masa satu jam untuk mengulang kaji pelajaran dan bersyukur apabila mendapat keputusan cemerlang," katanya yang ditemui selepas pengumuman STPM di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Aqilah berkata, keputusan dia menolak tawaran dalam jurusan pelancongan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun dengan menyambung pelajaran di SMK Sultan Sulaiman, juga keputusan tepat.

Dia yang tinggal di Kampung Pak Bang, Pasir Panjang, di sini berkata dia tidak menerima tawaran itu sebaliknya memilih untuk menduduki STPM kerana enggan menanggung hutang pinjaman.

"Walaupun ramai yang memberitahu STPM susah, saya tetap dengan keputusan untuk menyambung pelajaran di tingkatan enam terlebih dulu.

"Selepas ini, kalau ada rezeki saya mahu menyambung pengajian dalam jurusan undang-undang di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)," katanya.

Sumber dari Berita Harian
.

SBP, MRSM atau Sekolah Harian Biasa?

by



Kecemerlangan akademik semata-mata tidak seharusnya menjadi sandaran kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MSRM). Sebaliknya pendapatan keluarga perlu diambil kira selari dengan matlamat asal penubuhannya.

Bagaimanapun perkembangan terkini menyaksikan ramai pihak mendakwa SBP dan MRSM seolah-olah menjadi 'sekolah anak orang kaya' selain dijadikan testimoni prestij seorang pelajar.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon, berkata semua pihak perlu kembali melihat tujuan asal penubuhan SBP.

Katanya, ketika ia sudah tersasar daripada matlamat asal penubuhannya.

"Dulu tujuan asal penubuhan sekolah jenis ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar Bumiputera khususnya di luar bandar dibantu mendapatkan pendidikan terbaik serta bersaing dengan rakan yang setara pencapaiannya.

"Selain mendapat pendidikan, mereka juga dijaga dengan keperluan makan minum dan bantuan lain yang lebih sempurna supaya mampu fokus kepada pelajaran tanpa gangguan faktor sosio ekonomi keluarga," katanya.

Fouzi berkata sejak dulu lagi, NUTP sudah meminta kerajaan mengkaji dan mengembalikan semula tujuan asal penubuhan SBP bagi memastikan kemasukan pelajar ke sekolah sebegitu tidak hanya berpandukan faktor pencapaian akademik semata-mata tetapi juga pendapatan keluarga.

Katanya, dalam kebanyakan kes meskipun peluang itu diberikan kepada murid yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah, namun yuran persekolahan di SBP dan MRSM lebih tinggi berbanding sekolah biasa.

Hal ini tegasnya menjadikan ramai keluarga berpendapatan rendah tidak mampu menerima tawaran berkenaan.

"Namun hal ini tentunya tidak menjadi masalah kepada golongan berkemampuan.

"Masalah yuran tambahan yang dikenakan ini juga perlu dilihat sebagai satu kekangan yang mampu menghalang kemasukan pelajar kurang berkemampuan ini," katanya.

Tegas Fouzi, SBP atau MRSM diakui mempunyai kelebihan dan kebaikan yang banyak memberi manfaat kepada murid-murid antaranya jadual belajar lebih teratur.

Hal ini katanya adalah antara keunikan yang ada di SBP jika dibandingkan dengan kehidupan murid di sekolah harian biasa yang berpandukan jadual dan keinginan sendiri. Malah ada kala murid sukar untuk fokus belajar kerana faktor persekitaran tidak kondusif, gangguan adik beradik, perlu membantu ibu bapa dan sebagainya.

Bagaimanapun tegas Fouzi, SBP atau MRSM hanyalah satu pilihan untuk mendapat pendidikan. Dalam konteks yang lebih besar katanya, sistem pendidikan negara ini setara dengan sukatan pelajaran serupa sama ada murid itu menuntut di SBP, MRSM atau sekolah harian biasa.

"Ia sebenarnya terpulang kepada pelajar itu sendiri hendak serius belajar atau tidak.

"Ibu bapa harus memberi sokongan kepada anak mereka untuk berjaya dalam pelajaran. Malah tidak harus memandang rendah murid di sekolah harian biasa kerana mereka juga mampu cemerlang dalam pengajian.

"Malah keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah harian biasa lebih baik berbanding SBP atau MRSM," katanya.

Justeru katanya, ibu bapa tidak perlu mendesak anak mereka ke SBP atau MRSM jika anak-anak tidak mahu. Hal ini kerana faktor psikologi anak juga amat perlu untuk diambil kira sebelum menempatkan mereka di sekolah seperti itu.

Sementara itu bagi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG ) Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Jempol, Mohamad Azrin Amran, berkata umumnya ibu bapa lebih berminat menempatkan anak di SBP kerana murid yang menuntut di sekolah begitu lebih mendapat perhatian guru.

Hal ini kerana jumlah murid dalam sesebuah kelas lebih kecil berbanding sekolah harian. Justeru guru lebih fokus untuk mengenal pasti kemampuan dan menggilap prestasi murid.

"Kemudahan di sekolah begitu juga lebih baik dengan kehadiran guru terlatih dalam pelbagai teknik pengajaran.

"Begitu juga dalam aspek pembentukan sahsiah dan kepimpinan pelajar. Hal ini tentu saja berbeza dengan kemudahan di sekolah harian," katanya.

Mohamad Azrin berkata, justeru peluang untuk memasuki SBP sepatutnya kembali ke matlamat asalnya. Malah murid yang kurang berkemampuan dari segi kewangan tetapi cemerlang dalam pelajaran seharusnya juga diberi peluang untuk mendapat pendidikan di sekolah begitu.

Bagi Norfarina Kamarudin, sebagai ibu beliau melihat satu kerugian jika menolak tawaran untuk belajar di SBP atau MRSM.

Hal ini terkait dengan faktor kelebihan dari segi pembelajaran antaranya jadual pembelajaran teratur, disiplin ketat dan agenda pembentukan sahsiah murid yang ditawarkan di sekolah begitu.

"Kalau murid belajar di rumah, dia akan ada banyak masa lapang. Banyak masanya diisi dengan melayari internet.

"Hal ini tentu berbeza kalau menuntut di sekolah berasrama. Mereka ada jadual pembelajaran teratur dan lebih membantu untuk fokus dalam pembelajaran," katanya.

Untuk rekod sejarah penubuhan SBP bermula pada tahun 1890, ketika RO Winstead menjadi Timbalan dan kemudiannya menjadi Pengarah Pelajaran Tanah Melayu. Pada awalnya ia ditubuhkan bagi memberi pendidikan orang Melayu dalam kalangan bangsawan menerusi aliran Inggeris.

Namun dasar itu berubah selari dengan perkembangan semasa yang menyaksikan penubuhannya bagi memberi peluang pelajar luar bandar dan keluarga kurang berkemampuan mendapat pendidikan.

Petikan dari Berita Harian

Bagaimana Mengajar Pelajar Untuk Berfikir Secara KBAT?

by

 


Artikel ini ditulis oleh Cikgu Hailmi 

Satu kesulitan dalam menghadapi pembelajaran abad ke 21 adalah mengajarkan pelajar teknik untuk berfikir secara KBAT. Kemahiran Berfikir Aras Tinggi ini walaupun sebenarnya sudah lama wujud sejak penciptaan Model Taksonomi Bloom, tetapi barulah kini semakin giat dipromosikan sebagai kemahiran berfikir yang juga boleh diajar kepada semua aras pelajar, tanpa perlu lagi melalui KBAR, iaitu Kemahiran Berfikir Aras Rendah. 

Jom kita tengok beberapa cara dan strategi yang boleh digunakan oleh rakan guru bagi menggalakkan pelajar untuk berfikir secara KBAT.


1. Tingkatkan Soalan Aras Tinggi


Bagi membiasakan pelajar dengan soalan sebegini, maka guru hendaklah sentiasa memberikan soalan berbentuk KBAT. Semakin banyak soalan KBAT, semakin luas tahap pemikiran seseorang pelajar itu. 

Tapi, bagaimana yang dikatakan dengan soalan KBAT?. Antara ciri-ciri Soalan KBAT adalah soalan yang menguji kemahiran berfikir pelajar pada tahap Analisa, Sintesis dan juga Penilaian. Soalan-soalan berbentuk 'Wajarkan', 'Cadangkan', 'Ramalkan' adalah antara beberapa kata tugas yang memerlukan pelajar menguasai KBAT. Maka perbanyakkan lah soalan-soalan yang sebegitu. 


2. Mempelbagaikan Aktiviti Penyelesaian Masalah


Bagi menggalakkan juga pelajar berfikir secara KBAT, maka guru boleh lah memperbanyakkan lagi aktiviti yang melibatkan penyelesaian masalah. Dalam situasi baru yang diberi, pelajar perlu lah menggunakan kemahiran menganalisa, mensintesis dan juga menilai apakah konsep yang bersesuaian dan boleh digunapakai bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Objektif dalam menyelesaikan masalah juga haruslah diterapkan iaitu bagi membolehkan kita membuat penyelesaian yang terbaik, meneroka dan mempertimbangkan pelbagai pilihan dengan sebanyak mungkin, dan membolehkan kita bertindak atas keputusan yang telah diambil kira semua faktor serta kesan akibatnya. 

Secara ringkas, langkah-langkah menyelesaikan masalah adalah bermula dengan menyedari apakah permasalahan, memahami masalah, meneroka pilihan-pilihan penyelesaian, meninjau kesan akibat daripada pilihan-pilihan dan juga memilih pilihan terbaik sebagai penyelesaian. 


3. Teknik Menyoal

Teknik menyoal adalah teknik paling lama dan paling popular dalam bidang pendidikan. Pemilihan teknik ini dalam pdp dapat melahirkan interaksi antar guru dan pelajar secara berkesan. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan yang berkaitan dengan isi pelajar dan dan pelajar dikehendaki memberi tindakbalas yang sewajarnya. Kejayaan penggunaan teknik ini dalam pdp bergantung kepada kebolehan guru untuk menguasai teknik menyoal.

Salah satu perkara penting ketika berkomunikasi adalah aktiviti bertanya dan menyoal. Kemahiran bertanya dan menyoal bukan sekadar untuk mendapatkan sesuatu maklumat, tetapi juga membantu kita membina iklim komunikasi yang positif dan memupuk sikap saling memahami dan bekerjasama.

Tujuan Teknik Penyoalan
- Melihat keupayaan pelajar memahami sesuatu blok informasi
- Mengalih perhatian pelajar daripada satu fakta kepada fakta yang lain
- Menegaskan kepentingan isi
- Mengarah pelajar ke arah membentuk konsep pemahaman yang tersendiri
- Mengesan pengetahuan berbahasa pelajar
- Mengalakkan pelajar berfikir secara kreatif, inovatid, logik dan juga kritis
- Mendorong pelajar menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar

Walaubagaimanapun, penggunaaan teknik penyoalan adalah untuk mencerna pemikiran. Ini kerana soalan yang dikemukakn untuk menaganalisis, mensintesis dan menilai kemahiran dan menyediakan latihan untuk pelajar berkomunikasi. 

Di sini juga saya sertakan sedikit Panduan Penyoalan yang betul bagi membantu guru untuk mengasah pemikiran kreatif dalam kalangan pelajar. 

Prinsip Panduan Penyoalan
- Soalah hendaklah dirancang
- Soalan bersesuaian dengan peringkat kebolehan pelajar
- Aras soalan tidak terlalu senang dan tidak terlalu sukar
- Beri peluang kepada pelajar untuk berfikir mengenai jawapan
- Kemukakan soalan kepada keseluruhan kelas
- Elakkan daripada mengemukakan soalan kepada murid tertentu sahaja
- Kemukakan soalan terlebih dahulu sebelum menentukan nama murid
- Bentuk soalan perlu diubah-ubah untuk menarik perhatian murid
- Soalan dapat didengar dengan jelas oleh pelajar seluruh kelas
- Soalan haruslah mampu mendorong pelajar untuk berfikir
- Elakkan soalan yang mengandungi jawapan di dalamnya
- Soalan hendaklah ringkas dan juga jelas

4. Aktiviti Pemikiran Aras Tinggi Dalam Buku Teks
Tanpa kebanyakkan daripada kita sedari, buku teks yang disediakan sudah lama mengandungi aktiviti yang boleh merangsang pemikiran aras tinggi. Perhatikan semula kandungan dalam buku teks serta aktiviti yang disediakan bagi pembelajaran tertentu. 

Maka gunakanlah sebaiknya aktiviti dalam buku teks tersebut bagi membentuk pelajar yang mahir dalam menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi, KBAT

5. Pembelajaran Berasaskan Projek
Satu lagi perkara yang boleh menggalakkan pelajar untuk berfikir secara KBAT adalah dengan memperbanyakkan aktiviti pembelajaran yang berasaskan projek, project-based learning (PBL). 

Pembelajaran berasakan projek merupakan pelaksanaan program atau aktiviti dalam jangka panjang. Proses pembelajaran ini memerlukan pelajar bekerjasama, misalnya menyediakan soalan berkaitan projek dan mengimpelementasikan penyelidikan dengan mengumpulkan data, menganalisis data dan menghasilkan laporan samada secara lisan atau pun bertulis.

Dengan ini pelajar-pelajar dapat didedahkan dengan proses kemahiran berfikir dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan. Maka pelajar perlu dilibatkan dalam proses pengajaran yang aktif dan menyeronokkan seperti kaedah projek. Pelaksanaan STEM juga mampu menjadi pemangkin kepada pembelajaran berasaskan projek.

6. Menggunakan Alat Berfikir
Strategi terakhir dalam mengajar pelajar untuk berfikir secara KBAT adalah dengan menggunakan alat berfikir. Alat berfikir mampu membantu pelajar menggunakan minda dengan lebih bijak dan berkeesan. Pemikiran menjadi lebih tersusun, luas, jelas dan tidak terburu-buru dalam melakukan sesuatu.

Ini adalah antara alat-alat berfikir yang boleh digunakan untuk meningkatkan ketrampilan dalam berfikir, iaitu:
- Soalan dan penyoalan
- Peta Minda
- Pengurusan Grafik
- CoRT
- i-Think
- 6 Thinking Hat

Alat pengurusan grafik juga dikenali sebagai peta pengetahuan, peta konsep, peta cerita dan alat pengurusan kognitif. Alat komunikasi yang menggunakan simbol untuk menggambarkan pengetahuan, konsep, pemikiran, idea-idea dan juga hubungan antara mereka. Tujuan utama pengurusan grafik adalah untuk menyediakan bantuan visual bagi membantu pelajar berfikir.

Alat CoRT (Cognitive Research Trust) merupakan instrumen kognitif dalam bentuk garis panduan yang digunakan untuk meningkatakn kualiti pemikiran seseorang. Penggunaan alat ini dapat memandu pelajar untuk membuat keputusan dengan mengambil kira pelbagai faktor, menyelesaikan masalah, meluaskan pandangan terhadap sesuatu isu, meneliti kesan terhadap suatu tindaka, meneroka kepentingan apabila diberi pelbagai pilihan serta melihat sesuatu dari pelbagai sudut pandangan.

Semoga dengan perkongsian ini mampu memberikan guru sedikit pencerahan mengenai kaedah dan strategi yang boleh digunapakai dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi, KBAT dalam kalangan pelajar. Jika rakan guru ada perkongsian yang lain, sila-sila kanlah berkongsi dalam ruangan komen di bawah bagi digunakan oleh rakan guru yang lain juga. Terima kasih!

Sumber : https://www.cikguhailmi.com/

Dr Radzi mahu jumpa Cikgu Fadli

by

 


Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengajak untuk berjumpa guru yang mendakwa berdepan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan masalah silibus aras tinggi bagi subjek matematik dan isu beg beratmurid.

Beliau menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi memaklumkan ingin mengetahui lebih lanjut perkara dibangkitkan guru berkenaan Mohd Fadli Mohamed Salleh.

"Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan Cikgu Mohd Fadli Salleh. Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa," katanya.

Terdahulu, Mohd Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana alasan menyuarakan isu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) membabitkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Mohd Fadli menerusi Facebooknya berkata, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku kerana beliau tidak pernah terbabit dalam sebarang masalah disiplin atau menghadapi masalah dengan ibu bapa murid.

Beliau yang juga guru Matematik di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak turut berkongsi gambar surat bertarikh 22 September lalu yang menyatakan, beliau boleh dikenakan tindakan tatatertib buang kerja atau turun pangkat kerana berdepan tiga pertuduhan.

Pertuduhan itu ialah kerana memuat naik hantaran di platform media sosial Facebook mengenai jadual waktu serta mata pelajaran yang diajar di sekolah rendah.

Beliau juga dituduh memuat naik hantaran di Facebook mengenai subjek yang diajar pada murid Tahun Satu dan menerusi pertuduhan ketiga, beliau didakwa mengadakan sesi Facebook Live untuk bercakap mengenai masalah pendidikan di Malaysia khususnya subjek yang terlalu banyak.

"Saya hanya berkata jujur tentang beg berat bahaya kepada anak-anak, silibus tinggi dan padat. Silibus syok sendiri. Bilangan murid yang ramai dalam kelas. Subjek yang banyak murid belajar, masa belajar untuk subjek teras terutamanya matematik tidak mencukupi.

"Jadi kenapa KPM nak buang saya? Kerana saya bercakap jujur dan menyatakan kebenaran. Mereka tak boleh dengar kebenaran. Mereka tak boleh dengar luahan jujur. Mereka hanya nak dengar ampu, bodek, puji-puja sahaja," katanya.

Mohd Fadli berkata, sebelum bertindak bersuara di media sosial, beliau terlebih dahulu menggunakan saluran disediakan KPM, namun tiada respons.

Mengikut surat itu, bagi ketiga-ketiga perbuatan berkenaan, Mohd Fadli boleh ditafsirkan telah melanggar Peraturan 19(1)(c), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Beliau diminta membuat representasi secara bertulis dengan mengemukakan alasan dan bukti bagi membebaskan diri daripada kesemua pertuduhan itu dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan surat terbabit.

Mohd Fadli juga memaklumkan sudah pun mengambil khidmat peguam bagi memperjuangkan nasibnya yang hanya bersuara untuk masa depan sistem pendidikan lebih baik.

Sumber dari Berita Harian

Tiada kuota tertentu pengambilan guru

by

 


Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan ada kuota pengambilan guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41, termasuk guru kontrak.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata berikutan itu tidak timbul soal ada graduan ikhtisas pendidikan 'mencuri' kuota yang sepatutnya diberikan kepada graduan tanpa ikhtisas pendidikan.

Beliau berkata, sejak awal lagi kementerian itu sudah menegaskan keutamaan diberikan kepada graduan yang mempunyai ikhtisas pendidikan.

Katanya, selepas kekosongan dipenuhi graduan ikhtisas pendidikan yang layak, barulah kementerian itu menawarkan pula perjawatan kepada graduan bukan ikhtisas pendidikan.

Radzi berkata, senarai nama kira-kira 4,000 graduan bukan ikhtisas pendidikan itu diberikan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mendapatkan perakuan khusus, bagi membolehkan mereka dipilih oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

"SPP akan pilih berapa ramai ia nak. Yang paling penting, ia perlu menyelesaikan dahulu pengambilan graduan ikhtisas pendidikan dan apa baki yang ada, barulah ditawarkan kepada graduan bukan ikhtisas pendidikan.

"Jadi, tidak timbul dakwaan yang mengatakan ada kuota 4,000 graduan bukan ikhtisas pendidikan. Tidak ada perkara itu kerana tidak ada kuota.

"Apa yang berlaku ialah mereka ini disenarai-pendek. Apabila disenarai-pendek, ia tidak bermakna mereka akan mendapat jawatan itu," katanya, di sini hari ini.

Radzi berkata, turut dibangkitkan isu tiada graduan bukan ikhtisas pendidikan yang diterima memenuhi opsyen mata pelajaran tertentu.

Beliau berkata, dalam pemilihan itu juga keutamaan diberikan kepada graduan ikhtisas pendidikan, sebelum boleh ditawarkan kepada yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan.

Selain itu, beliau berkata, selepas menyelesaikan isu penawaran jawatan guru kepada graduan ikhtiasas pendidikan, kementerian itu mendapati ada kira-kira 200 calon yang layak, namun belum mendapat surat dari senat universiti masing-masing.

Beliau berkata, mereka ini tidak boleh diketepikan kerana bukan kelemahan mereka tidak menerima surat berkenaan.

"Secara teknikal, kita mengambil mereka ini melalui guru kontrak. Ini tidak ada kaitan dengan guru kontrak graduan tanpa ikhtisas pendidikan. Kita gunakan laluan lain," katanya.

Sebelum ini, KPM dikritik termasuk didakwa guru kontrak satu bentuk penipuan, manakala SPP didakwa tidak telus dalam pengambilan berkenaan

Sebuah portal mendakwa seorang calon menyatakan kuota pengambilan kali ini dikurangkan, selepas pengumuman Radzi keputusan untuk 2,400 calon guru kontrak akan diumumkan sebelum 31 Mei 2022.

Sabtu lalu, Radzi memaklumkan KPM melanjutkan kontrak 2,683 guru pengambilan 2020 yang akan tamat Khamis ini.

Sumber dari Berita Harian

PPsi dilaksanakan bagi murid tahun 4,5 dan tingkatan dua

by

 


Mulai tahun 2022, Pentaksiran Psikometrik (PPsi) akan dilaksanakan bagi murid tahun empat dan lima di sekolah rendah serta pelajar tingkatan dua di sekolah menengah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sebelum ini PPsi dilaksanakan bagi pelajar tingkatan tiga sekolah menengah bagi menilai prestasi murid tersebut.

Kali ini KPM akan laksanakan PPsi bagi tiga kumpulan murid tersebut, ini membolehkan ibu bapa mendapat maklumat yang lebih menyeluruh berkaitan perkembangan anak masing-masing.

Ia bukan sahaja dari sudut akademik, tetapi dari sudut jasmani, kesihatan dan psikometrik.



PT3 dimansuhkan mulai tahun 2022

by

 


Mulai tahun 2022, Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) secara rasminya dimansuhkan.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin hari ini.

Menurut beliau, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil keputusan untuk tidak lagi menjalankan PT3 bagi pelajar tingkatan tiga.

Murid akan ditaksir oleh guru setiap masa menerusi pentaksiran berasaskan sekolah.

Untuk memastikan murid mendapat penguasaan sepenuhnya dalam sesuatu topik yang diajar, katanya pada sidang akhbar khas.


Keputusan rayuan kemasukan sekolah khusus pada 29 April 2022

by

 


Keputusan rayuan kemasukan ke sekolah khas bagi pelajar tingkatan 1 dan 4 akan diumumkan pada 29 April 2022.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi sidang akhbar khas.

Menurut Dr. Radzi, ibu bapa serta pelajar yang bakal memasuki tingkatan 1 dan 4 boleh membuat semakan permohonan rayuan mereka ke sekolah khas bermula tarikh tersebut. 

Tip kenali ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas

by

 


Kita selalu mendengar mengenai individu yang memiliki tahap kecerdasan (intelligence quotient - IQ) yang tinggi. Misalnya ahli fizik Stephen Hawking memiliki skor IQ 160, manakala pemain catur terkemuka Gary Kasparov, 194.

Umumnya mereka yang dianggap pintar dan cerdas ini memiliki tahap kecerdasan di atas 130. Istilah pintar cerdas pertama kali digunakan oleh Francis Galton pada tahun 1869, manakala konsep kepintaran berasal daripada istilah kecerdasan atau 'intelligent'.

Individu yang pintar cerdas ini didefinisikan sebagai mereka yang memiliki keupayaan pembelajaran dan perkembangan melebihi tahap normal. Selain itu ia juga merujuk kepada keupayaan seseorang melakukan penaakulan iaitu kebolehan berfikir dengan logik dan mempunyai fungsi kognitif yang hebat.

Bagaimanapun, setiap individu yang dikategorikan sebagai pintar cerdas ini memiliki domain kebolehan tersendiri iaitu terbahagi kepada intelektual, akademik, verbal, kemahiran sosial, muzik, kemahiran fizikal dan kecerdasan emosi.

Ada sesetengah kanak-kanak ini disifatkan sebagai berbakat atau 'gifted'. Ia merujuk kepada kebolehan semula jadi yang terdapat dalam diri individu.

Namun, tidak semua ibu bapa mampu mengenal pasti kanak-kanak pintar. Justeru sekolah rendah dilihat sebagai asas utama kepada pengesanan keupayaan mereka berdasarkan perkembangan aktiviti pembelajaran. Namun adakala kepintaran mereka disalahertikan menyebabkan murid tersisih. Justeru peranan ahli psikologi diperlukan untuk mengenal pasti kanak-kanak pintar.

Dalam mengenal pasti keupayaan mereka, ia mesti berdasarkan ciri-ciri psikologi, ingatan dan pemikiran logik yang ditunjukkan, selain menerusi pembelajaran mereka.

Secara umum terdapat enam kategori kanak-kanak:

1. Kategori kanak-kanak berbakat

Kanak-kanak pintar cerdas kategori ini sangat mudah untuk dikenali. Umumnya mereka sering disukai oleh guru dan rakan-rakan sebaya. Hasil pencapaian akademik kanak-kanak ini selalunya tinggi. Namun mereka kurang gemar berdikari dan lebih suka untuk bergantung harap kepada orang lain.

2. Kreatif

Kanak-kanak dalam kategori ini mempunyai sifat kreativiti yang tersendiri. Namun tingkah laku mereka boleh berubah menjadi degil jika kurang diberi perhatian oleh ibu bapa mahupun guruguru. Oleh yang demikian, kanak-kanak seperti ini perlu sentiasa diberi motivasi dan galakan.

3. Mudah cemas

Kanak-kanak kategori ketiga ini kebanyakannya adalah kanak-kanak perempuan. Mereka mudah cemas dan tidak berasa selamat. Ini adalah kerana wujudnya konflik dalam sosial dan kejayaan akademik. Mereka selalu mengalami kemurungan kerana tidak yakin bahawa bakat yang dimiliki dapat diketengahkan.

4. Dalam kelompok keciciran

Mereka dalam kumpulan keempat dikenali sebagai kanak-kanak yang keciciran. Kanakkanak ini mempunyai pencapaian yang rendah dalam pelajarannya. Tambahan mereka ini kurang dorongan dan motivasi. Ini disebabkan mereka mengikuti program yang tidak sesuai dengan mereka. Oleh yang demikian, program yang bersesuaian perlu diberikan kepada mereka.

5. Sulit belajar

Kategori kelima ini umumnya mempamerkan kesulitan dalam pembelajaran sama ada dari segi fizikal dan emosi. Kanak-kanak kategori ini kurang diberi perhatian dan potensi serta bakat mereka dipersiakan. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak pintar cerdas yang kurang upaya dari aspek fizikal mungkin memiliki kecerdikan pada aspek pembelajaran tetapi tidak dipedulikan menyebabkan kepandaiannya itu terabai.

6. Berautonomi

Kanak-kanak berautonomi iaitu mereka yang mempunyai cara mereka yang tersendiri. Mereka tidak mudah bergantung harap daripada orang lain. Kanak-kanak seperti ini akan terus mengembangkan potensi dari dalam dirinya jika terdapat program yang bersesuaian dengan mereka.

Bagaimana mengenali ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas?

Kanak-kanak pintar cerdas memiliki ciri-ciri kepandaian berfokus iaitu hanya pandai dalam sesuatu bidang tetapi pencapaian normal untuk bidang-bidang yang lain. Perkara ini dinamakan 'asynchronous' yang bermaksud tidak sekata atau tidak berlaku mengikut peringkat yang sepatutnya.

Ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas juga boleh dibahagikan kepada aspek kognitif, kemahiran fizikal, tingkah laku, intelektual, akademik, verbal, kecerdasan emosi dan kemahiran bersosial.

Ia boleh diperjelaskan berdasarkan pembahagian berikut:

Kognitif

- Ingatan yang kuat.

- Berminat kepada sesuatu yang kompleks dan mencabar.

- Memproses maklumat dengan cepat.

Kemahiran fizikal

- Kebolehan fizikal dan mental yang berbeza.

Tingkah laku

- Gigih serta berorientasikan maklumat.

- Pengamatan yang luar biasa.

- Sensitiviti yang tinggi berbanding yang lain.

- Rasa humor yang tinggi.

Intelektual

- Cepat belajar.

- Berminat memerhatikan alam.

- Mengingat dengan cepat dan tepat.

- Pengetahuan mendalam berbanding kanak-kanak lain yang sebaya.

- Memori yang tinggi.

Pencapaian akademik

- Tahap kemampuan membaca, mengira dan penulisan lebih tinggi.

- Memperlihatkan kemahiran dalam satu atau dua subjek.

- Menguasai isi kandungan pelajaran.

- Prestasi pencapaian akademik yang tinggi.

Verbal

- Tahap pertuturan yang jelas dari segi perbendaharaan kata dan tatabahasa.

- Mampu bercerita dengan spontan.

- Keupayaan menyampaikan idea dan maklumat dengan jelas.

- Penggunaan perbendaharaan kata yang betul.

- Penguasaan bahasa yang tinggi.

Kecerdasan emosi

- Lebih peka terhadap kritikan.

Kemahiran bersosial

- Mempunyai nilai empati yang tinggi.

- Mempunyai tahap keinginan yang lebih tinggi dalam sesuatu permainan.

- Mempunyai kemahiran dalam kepimpinan.

- Berkawan dengan orang yang lebih dewasa.


Ditulis oleh Dr Madhyazhagan Ganesan 

Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

- Berita Harian


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90