Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label pelan pemulihan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pelan pemulihan. Papar semua catatan

3 indikator utama Pelan Pemulihan Negara

by

 

Kerajaan membentangkan Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik COVID-19.

Strategi terbabit merangkumi empat fasa dan akan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Katanya, tiga indikator adalah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

"Pendekatan secara berperingkat ini bermula dengan fasa pertama iaitu pelaksanaan PKP menyeluruh yang sedang dilaksanakan sekarang dalam keadaan bilangan kes COVID-19 adalah tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapai vaksinasi yang masih rendah.

"Kerajaan akan menimbang peralihan daripada fasa pertama kepada fasa kedua selepas purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal dan 10 peratus populasi sudah menerima dua dos suntikan vaksin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan Pelan Pemulihan Negara hari ini.

Muhyiddin berkata, menerusi fasa kedua, aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat manakala aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis.

Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup.

Senarai positif daripada fasa pertama akan diperluaskan ketika fasa kedua dengan menambahkan beberapa sektor selain aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

"Fasa ketiga pula membabitkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif iaitu semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali yang berisiko tinggi.

"Kita boleh beralih kepada fasa ketiga jika kita berjaya mencapai nilai ambang iaitu purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dan 40 peratus populasi negara sudah menerima dua dos suntikan vaksin," katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, fasa keempat akan dilaksanakan jika negara berjaya mencapai nilai ambang iaitu purata kes harian menurun di bawah 500 kes, sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil ICU mencukupi serta 60 peratus populasi menerima dua dos suntikan vaksin.

"Berdasarkan unjuran pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), peralihan ini dijangka dapat dilaksanakan seawal akhir Oktober ini," katanya.

Sumber dari Berita Harian.

 

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90