Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label hilang dengkur. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hilang dengkur. Papar semua catatan

Rawatan Dengkur

by

 

Di pasaran ada pelbagai alat bantuan yang dikatakan dapat mengurangkan atau mengatasi masalah berdengkur.

Antara yang sering didengar adalah alat tampalan yang dikatakan mampu mengembangkan ruang saluran pernafasan yang tersumbat.

Malah, ada juga yang mengamalkan sapuan minyak angin di dada atau bahagian hidung dengan harapan cara itu dapat membuka laluan pernafasan yang tersumbat.

Hakikatnya, perkara itu adalah sebahagian daripada mitos atau penerangan tidak tepat kerana dengkur adalah masalah disebabkan aliran pernafasan separa terhalang di bahagian tekak yang mengakibatkan tisu-tisu di dalamnya bergetar.

Halangan itulah membuatkan seseorang itu berdengkur.

Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) Avisena Specialist Hospital, Dr Iqbal Farim Rizal Wong berkata, setakat ini tiada bukti atau kajian saintifik menunjukkan kaedah meletakkan alat tampalan pada hidung berkesan merawat masalah berdengkur.

Beliau berkata, dengkuran berlaku apabila seseorang berdepan masalah sistem pernafasan di antara hidung dan tekak.

Maka, kaedah tampalan atau sapuan ubat pada permukaan kulit tidak mampu memberi kesan kepada pesakit.

“Cara yang paling berkesan adalah pesakit perlu berjumpa dengan pakar ENT bagi mengenal pasti rawatan bersesuaian dengan mereka kerana setiap individu memerlukan cara rawatan yang berbeza mengikut ciri fizikal masing-masing.

“Ada pesakit yang mengalami masalah dengkuran akibat struktur muka tidak normal atau obesiti yang teruk. Maka, ini adalah antara faktor yang menjadi sandaran untuk pakar memberikan rawatan yang sesuai,” katanya.

Beliau menambah, masalah berdengkur boleh dibahagikan kepada dua tahap iaitu kerap berdengkur walaupun tidur sekejap dan jarang berdengkur.

Berdengkur sekali sekala dianggap perkara normal bagi kebanyakan orang.

“Paling membimbangkan ialah mereka yang kerap berdengkur kerana ia bukan saja menjadi masalah sosial tetapi mampu mengakibatkan apnea tidur iaitu keadaan di mana pernafasan terhenti selama 10 saat atau lebih secara berulang-ulang sepanjang malam,” katanya.

Lebih membimbangkan apnea tidur itu mampu memberi kesan yang lebih teruk kepada tahap kesihatan kerana ia boleh memberi tekanan kepada jantung dan paru-paru, sekali gus mengakibatkan peningkatan tekanan darah, menaikkan risiko mengalami strok, kencing manis dan sakit jantung.

Katanya, apnea tidur berlaku kepada individu mengalami masalah obesiti teruk, kehadiran lebihan tisu pada tekak dan bentuk rahang yang tidak normal menjadikan ruang udara di dalam mulut mudah tertutup apabila tidur.

“Apabila seseorang mengalami apnea tidur, mereka juga akan tersedar secara mengejut kerana tercekik ketika tidur.

“Ia mengakibatkan pesakit tidak mendapat tidur mencukupi dan boleh menyebabkan tekanan kepada mental dan fizikal seseorang,” katanya.

Dari segi rawatan, Dr Iqbal berkata, doktor akan memeriksa keadaan pesakit melalui ujian endoskopi bagi melihat struktur tekak dan hidung selain struktur muka.

Jelasnya, selepas mengenal pasti punca masalah itu, pakar akan menjalankan ujian tidur bagi memastikan diagnosis apnea tidur. Berbekalkan maklumat itulah, pakar boleh mengesyorkan rawatan sesuai.

Secara amnya, rawatan apnea tidur boleh dibahagikan kepada rawatan konservatif menggunakan mesin ‘continuous positive airway pressure’ (CPAP) atau pembedahan.

“Mesin CPAP berfungsi dengan menghembuskan udara semasa pesakit menarik nafas ketika tidur dan ia mampu memberi oksigen secukupnya untuk badan serta membuka halangan pernafasan yang mengakibatkan dengkur.

“Kedua, kita boleh melakukan pembedahan pada lelangit bagi mengurangkan getaran tisu tekak apabila pesakit bernafas ketika tidur. Semua rawatan ini bergantung kepada kesesuaian setiap orang,” katanya.

Menurutnya, semua individu boleh berdepan dengan masalah dengkuran termasuk kanak-kanak. Bagaimanapun bagi si kecil, dengkuran selalunya disebabkan kelenjar tonsil dan adenoid yang besar pada tekak dan hidung.

“Selalunya kanak-kanak yang berdepan masalah tonsil besar ini berusia antara tiga hingga 10 tahun. Jika tidak dirawat melalui pembedahan berkemungkinan boleh memberi kesan kepada tahap kesihatannya,” katanya.

Selain kelenjar tonsil dan adenoid yang besar, apnea tidur pada kanak-kanak juga kerana Sindrom Pierre-Robin. Ini adalah sindrom apabila kanak-kanak dilahirkan dengan tulang rahang yang amat kecil dan mengakibatkan saluran pernafasan menjadi sempit. Bagaimanapun, kes seperti ini jarang berlaku.

Sumber : Harian Metro

 

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90