Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label tga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tga. Papar semua catatan

Inara perlu RM120,000 rawat saluran jantung terbalik

by


Seorang bayi berusia tiga bulan yang mengalami Transposisi Arteri Besar (TGA) memerlukan bantuan sejumlah RM120,000 untuk pembedahan di Hospital Gleneagles.

Che Nur Ayesha Inara Che Muhamad Azri dari Banting, Selangor itu memerlukan bantuan bagi menjalani pembedahan Suis Arteri untuk meletakkan saluran darah utama di dalam ruang pam yang sesuai selepas mengalami saluran jantung terbalik.

Ibunya, Syafiqah Walmasri, 23, berkata anaknya yang dilahirkan secara normal dan sihat pada awal kelahiran itu hanya menunjukkan masalah jaundis berpanjangan sepanjang tempoh dia berpantang.

Katanya, perubahan anak sulungnya itu mula disedarinya apabila nafas kelihatan laju dan ada tanda kebiruan pada tangan serta kuku Che Nur Ayesha Inara.

Kami terus dapatkan rawatan di Klinik Kesihatan dan Inara (panggilan anak) dirujuk ke Hospital Banting.

"Dalam waktu begitu pantas, oksigen Inara terus menurun sehingga 1 dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang," katanya.

Suri rumah itu berkata, besar harapan dia dan suami yang bekerja sebagai juruteknik kilang untuk melihat Inara dapat membesar seperti kanak-kanak lain.

Katanya, dia yang bergantung sepenuhnya pada pendapatan suaminya, Che Muhammad Azri Che Noordin, berharap komplikasi saluran jantung yang dihadapi anaknya selepas kematian anak pra matang sebelum ini dapat membesar dengan sihat.

"Paling saya tidak dapat lupa apabila pegawai perubatan memaklumkan nadi jantung Inara terhenti 10 minit sewaktu dalam perjalanan ke HTAR dan menyebabkan ambulans terpaksa patah balik ke Hospital Banting untuk tujuan menstabilkan Inara.

"Selepas keadaan Inara stabil, barulah dia dihantar semula ke HTAR dan dimasukkan ke ICU.

"Doktor memaklumkan Inara perlu menjalankan pembedahan Suis Arteri dengan segera. Kami dirujuk ke Hospital Gleneagles untuk pembedahan ini bagi menyelamatkan nyawanya," katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Sementara itu, Che Muhammad Azri, 26, berharap untuk melihat anaknya kembali sihat dan membesar bayi lain.

"Inara cukup senang dijaga. Sewaktu di rumah, dia tidak merengek atau kerap terjaga malam. Namun melihat pernafasannya agak laju dan mula ada tanda kebiruan, kami tidak mengambil masa lama untuk mendapatkan rawatan untuknya.

"Sebaik sahaja dimaklumkan keadaan kesihatan Inara, ibu bapa mana yang tidak sedih tetapi kami reda dan perlu kuat untuk anak," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Maybank 5141-0532-3170 dengan menyatakan nama pesakit.

Bagi sumbangan menggunakan cek ke tabung sama pula, tulis nama pesakit di belakang cek dan hantar ke alamat Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP layak mendapat pelepasan cukai.

Pembedahan Transposition of the Great Arteries (TGA)

by




MEMORI 28 November 2013

Sembilan tahun yang lalu, anak sulung kami, Muhammad Ahsan Umar telah menjalani pembedahan Transposition of the Great Arteries (TGA) pada usia 22 hari. Pembedahan selama enam jam bermula dari 9.30 pagi sehingga 3.30 petang yang diketuai oleh Pakar Kardiologi IJN, Dr Sivakumar bersama dengan Team Dato' Dr Hassan, Mr Nam, Dr Keiko dan Dr Khairul Faizah.

TGA adalah kecacatan jantung sejak lahir di mana pembuluh darah aorta dan pulmonari arteri jantung bertukar tempat dan keluar dari ventrikal secara salah. Ini menyebabkan pengaliran darah yang terbalik di mana darah yang kembali dari badan tidak pergi ke paru-paru tetapi kembali ke badan semula menyebabkan bayi mengalami kebiruan.

Alhamdulillah, pembedahan BERJAYA.



DR. SIVAKUMAR A/L SIVALINGAM. Doktor Pakar Jantung IJN yang mengetuai pembedahan jantung anakanda Muhammad Ahsan Umar pada 28 November 2013.
Seorang yang 'soft spoken' dan fasih berbahasa Melayu. Beliau memberi penerangan yang jelas sebelum pembedahan dan sangat positif dengan apa yang ingin dilakukan dalam pembedahan tersebut.
Telah banyak mengetuai pembedahan jantung yang kompleks termasuk pembedahan jantung anak Aida Gadis Melayu dan Saiful Nizam Ismail TV3 pada 2011.


Ulangtahun ke-9 Umar

by

 


Pada 6 November 2013 jam 4.42 petang, lahirlah seorang putera yang diberi nama Muhammad Ahsan Umar. Sebelum dilahirkan, doktor yang berada dalam Dewan Bersalin agak kelam kabut kerana bacaan oksigen 'drop' dan langsung tiada bacaan. Rupanya itu petanda yang bayi ini ada masalah.

Sebaik dilahirkan, dia tidak menangis dan keseluruhan badan berwarna biru. Staf nurse terus bawa bayi ini ke bilik lain. Selepas itu barulah terdengar suara bayi menangis. Umar segera dibawa naik ke Neonatal Intensive Care Unit (NICU).

Kami yang pertama kali pengalaman menerima cahaya mata tertanya-tanya apa yang terjadi sebenarnya kerana doktor dan jururawat tak cakap apa-apa pun. Beberapa jam selepas itu barulah saya diminta naik ke NICU. Doktor bertugas bertanya mengenai latarbelakang keluarga, sejarah penyakit dan sebagainya. Pada masa itu badan Umar sudah dipenuhi pelbagai wayar dan salur oksigen. Saya diminta mengazankan Umar dari tepi inkubator.

Selepas diperiksa oleh Pakar Kardiologi barulah saya dimaklumkan mengenai masalah dan penyakit sebenar bayi yang baru lahir ini. Mereka cuba menghubungi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tapi Pakar Jantung tiada pada masa itu, jadi mereka menghubungi Institut Jantung Negara (IJN).

IJN memberi lampu hijau. Saya dan bayi bertolak pada malam itu juga dari HSNZ Kuala Terengganu ke IJN Kuala Lumpur pada jam 2.30 pagi menaiki ambulan dengan diiringi seorang doktor dan seorang jururawat. Ambulan berhenti di Hospital Kemaman jam 5.00 pagi untuk menukar tangki oksigen kerana oksigen hanya mampu bertahan 3 jam lebih.

Kami sampai di IJN pada jam 8.30 pagi. Doktor IJN terus memasukkan belon untuk menstabilkan jantung Umar. Selama 2 minggu Umar berada di IJN sebelum dibenarkan balik ke Terengganu.

Pada 28 November 2013 iaitu pada usia 22 hari, Umar menjalani pembedahan TGA iaitu mengalihkan salur arteri jantung yang terbalik. Syukur Alhamdulillah, pembedahan yang mengambil masa selama 6 jam dari 9.00 pagi sehingga 3.00 petang berjaya tanpa komplikasi serius.

HARI INI genap 9 tahun usia Umar, kami sangat bersyukur kerana dia sudah sihat, aktif bermain bola dan boleh menyertai seni mempertahankan diri Taek Won Do seperti kanak-kanak lain.


Transposition of Great Arteries (TGA)

by

 

Dalam setiap 50,000 kelahiran, ada beberapa orang bayi yang dilahirkan dengan masalah TGA seperti Umar. Transposition of Great Arteries (TGA) atau Salur Arteri Terbalik adalah masalah jantung jenis biru (cyanotic heart defects) di mana pesakit kelihatan kebiruan semasa dilahirkan.

Pembuluh darah aorta (salur darah berwarna merah) dan pulmonari arteri (salur darah berwarna biru) bertukar tempat (terbalik) dan keluar dari ventrikal secara salah. Ini menyebabkan pengaliran darah yang terbalik di mana darah yang kembali dari badan tidak pergi ke paru-paru tetapi kembali ke badan semula menyebabkan bayi mengalami kebiruan.

Bayi yang dilahirkan dengan masalah TGA perlu menjalani pembedahan segera (dalam kes Umar, pembedahan pada usia 22 hari). Jika tidak, kemungkinan bayi tersebut tidak dapat bernafas secara normal dan akan menyebabkan kematian. Berbeza dengan bayi pesakit jantung berlubang di mana lubang tersebut boleh tertutup sendiri tanpa perlu pembedahan.

Di Malaysia, Institut Jantung Negara (IJN) dan beberapa hospital swasta ada kepakaran untuk merawat dan memulihkan masalah jantung TGA ini.
 
 

Ulangtahun Ke-2 Umar Pesakit Jantung TGA

by


Umar. 2 tahun. Waktu dilahirkan jam 4.42 petang 6 November 2013, seluruh badannya biru (gelap). Dia agak lambat menangis. Dikejarkan ke Unit ICU Pediatrik tanpa diletakkan di atas badan ibunya. Ibunya tak sempat pun melihat wajah Umar. Baru saya tahu itu prosedur apabila bayi disyaki ada masalah.

Berbeza dengan adiknya Uwais yang diletakkan di atas badan ibu sejurus selepas lahir. Selepas itu bapa boleh azan bayi. Ketika troli katil ditolak ke wad, bayi diletak di celah kaki ibu. Itu tanda bayi itu sihat.

Saya hanya boleh azan Umar tiga jam kemudian selepas dia dibersihkan, disambung dengan oksigen dan pelbagai wayar di seluruh badan dan diletakkan di dalam bekas khas.




Selepas dua doktor pakar Hospital Kuala Terengganu memeriksa Umar, mereka cuba menghubungi HUSM Kubang Kerian namun mereka menolak dengan alasan doktor pakar sedang bercuti. Mujurlah pihak Institut Jantung Negara (IJN) memberi lampu hijau untuk menerima Umar. Hospital Kuala Terengganu tiada kemudahan untuk pembedahan jantung.

Selepas itu baru saya tahu yang Umar biru kerana ada masalah jantung namun doktor ketika itu belum menjelaskannya secara terperinci.

Menjelang tengah malamnya saya mendapat panggilan telefon di mana Umar mesti dihantar ke Kuala Lumpur pada malam itu juga. Saya bersama dua orang doktor dan dua jururawat menaiki ambulans ke IJN. Ibunya tidak dibenarkan ikut sama oleh doktor kerana masih lemah. 

Umar bergantung sepenuhnya dengan bantuan oksigen. Memandangkan perjalanan yang jauh, ambulans terpaksa berhenti di Hospital Kemaman untuk menukar tangki oksigen.


Sebaik tiba di IJN, seorang doktor pakar menerangkan secara terperinci masalah jantung yang dihadapi oleh Umar. Dua salur injap utama jantung Umar berada dalam kedudukan terbalik. Prosedur pertama untuk menstabilkan tekanan oksigen adalah dengan memasukkan belon khas ke jantung Umar.


Kes Umar diberi keutamaan oleh IJN kerana dia perlu dibedah segera. Dua minggu selepas itu pembedahan besar yang dipanggil Transposition of Great Arteries (TGA) Operation dijalankan ke atas Umar untuk menukar salur injap arteri jantung kiri ke kanan dan salur arteri kanan ke kiri. Pembedahan ini memakan masa lebih enam jam.


Selepas pembedahan, dada Umar tidak dijahit lagi bagi mengelakkan berlaku keadaan di luar jangka. Dadanya hanya dijahit 24 jam selepas itu. Alhamdulillah, selepas 48 jam waktu kritikal selepas pembedahan, Umar mulai sedar. Semangatnya untuk hidup memang kuat dengan rahmat Allah SWT dan berkat doa keluarga dan rakan-rakan.


Kini, selepas dua tahun, sepanjang pemeriksaan susulan di HSNZ dan IJN, doktor berpuashati dengan keadaan salur injap utama dan tekanan oksigen jantung Umar. Semoga Allah SWT sentiasa memberi kesihatan yang baik buat anakanda Umar. Ameen.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkan di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) MUHAMMAD AHSAN UMAR : 1111441100060894

Arteri Jantung Terbalik (TGA)

by

Sambil melayari internet, terlihat gambar jantung ini. Ramai yang bertanya masalah jantung Umar dahulu. Umar ketika lahir mempunyai masalah injap jantung utama terbalik (dipanggil Transposition of the great arteries (TGA) di dalam Bahasa Inggeris). Kes ini biasanya terjadi kepada bayi yang baru lahir di mana dua injap utama jantung berada dalam kedudukan yang terbalik (songsang).

Lihat gambar 1 adalah gambar jantung normal iaitu anak panah hijau gelap - injap aorta bersambung dari kiri jantung (anak panah kuning) ke bahagian tubuh sementara anak panah putih adalah injap pulmonary dari kanan jantung (anak panah biru gelap) bersambung ke paru-paru.

Gambar 2 pula gambar injap jantung terbalik di mana injap aorta berada pada kedudukan songsang dan ini menyebabkan oksigen tidak dapat dipam secukupnya ke jantung. Bayi TGA ini berwarna biru (gelap) selagi tidak dilakukan pembedahan.

Alhamdulillah, Umar sudah sihat dan normal sekarang. Terima kasih IJN di atas kejayaan pembedahan pada Dis 2013.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkan di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) MUHAMMAD AHSAN UMAR : 1111441100060894

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90