Seorang bayi berusia 52 hari memerlukan bantuan sejumlah RM60,000 bagi menjalani pembedahan jantung berlubang yang dikesan sejak lahir.
Muhammad Umar Alfarizqi Mohd Khairul Anan dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu mengalami masalah jantung berlubang jenis VSD (Vebtricular Spetal Defect) selain saluran injap tersumbat.
Ibunya, Nur Adilah Zainudin, 26, berkata dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan serius kecuali berat badan berlebihan sepanjang anak sulungnya dalam kandungan.
Katanya, hati ibu mana yang tidak sayu sebaik sahaja menjalankan pembedahan bagi proses kelahiran, doktor mengesan Muhammad Umar Alfarizqi mengalami jangkitan kuman paru-paru pada awalnya.
"Ketika lahir doktor mengesan masalah paru-paru dialami Umar (panggilan anak) apabila bacaan oksigennya menurun dan jangkitan kuman.
"Setelah diberikan ubat dan diletakkan di bawah pengawasan Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU) selama beberapa minggu, doktor sahkan jantung anak kami berlubang dan perlukan pembedahan segera," katanya.
Anak sulung kepada pasangan dari Kampung Baru Gong Merawan, Kemaman, Terengganu itu memerlukan pembedahan segera bagi menutup lubang sebesar 9 milimeter (mm) selain memastikan dia tidak mengalami komplikasi ketika bernafas.
Nur Adilah berkata lagi, sehingga kini dia dapat mendukung anaknya hanya sekali sahaja sejak 52 hari melahirkan Umar.
"Sejak Umar dilahirkan, saya hanya dapat mendukungnya sekali sahaja ketika itu dia sudah berusia sebulan.
"Bayangkan ibu lain dapat mendukung anak sejak lahir, tetapi keadaan Umar tidak mengizinkan untuk kami berdua mendukungnya seperti bayi normal lain,"katanya yang seorang suri rumah.
Sementara itu, Mohd Khairul Anan Md Kesah, 29, yang bekerja sebagai mekanik berkata pendapatan RM1,200 tidak mencukupi
untuk membiayai kos pembedahan anaknya namun dia dan isteri tidak berputus asa berusaha terbaik untuk anak mereka yang dinantikan hampir dua tahun.
Katanya, dia dan isteri hanya mengetahui perkembangan daripada pihak hospital mengenai anaknya melalui panggilan telefon atas sebab Prosedur Standard Operasi (SOP) COVID-19 yang tidak membenarkan penjaga atau ibu bapa berada di NICU.
"Kami juga hanya dapat melihat gambar Umar dan mampu berdoa urusan pembedahannya berjalan lancar.
"Ibu bapa mana yang sanggup melihat anak berada dalam keadaan lemah dan sakit. Saya juga mahu melihat dia (Umar) aktif seperti kanak-kanak lain.
"Semoga ada sinar harapan untuk Umar dapat kembali ke rumahnya sendiri dan berjumpa ahli keluarga lain," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Maybank 5141-0532-3170 dengan menyatakan nama pesakit.
Bagi sumbangan menggunakan cek ke tabung sama pula, tulis nama pesakit di belakang cek dan hantar ke alamat Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.