Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label kewangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kewangan. Papar semua catatan

Waspada inflasi teras tinggi daripada biasa - BNM

by


Malaysia harus berhati-hati terhadap inflasi memandangkan inflasi teras masih tinggi malah lebih tinggi daripada biasa, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Inflasi yang tinggi boleh menyukarkan kehidupan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah serta ia boleh menjejaskan ekonomi, katanya.

"Inflasi yang tinggi menjejaskan kuasa beli bermakna apa yang anda boleh beli dengan RM100 sekarang, nilainya mungkin akan lebih rendah pada masa depan," katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif pertamanya dengan media sejak dilantik sebagai Gabenor BNM pada 1 Julai, 2023.

Inflasi teras mengukur perubahan dalam harga semua barangan dan perkhidmatan, tidak termasuk barangan makanan segar serta harga barangan serta tenaga yang dikawal kerajaan.

Abdul Rasheed memberitahu bahawa inflasi yang tinggi turut menggunakan dana dalam simpanan.

"Selain itu, kenaikan harga yang tidak terkawal menyukarkan perniagaan untuk merancang dan melabur. Ini menjejaskan potensi pertumbuhan dan prospek negara dan ia adalah sesuatu yang kta mahu elakkan," tegasnya.

Pada Khamis, bank pusat itu berkata kedua-dua inflasi keseluruhan dan inflasi teras diunjurkan menurun pada separuh kedua 2023.

Bagaimanapun, BNM berkata bahawa walaupun inflasi teras telah menyederhana, ia kekal tinggi berbanding purata jangka panjang dalam persekitaran faktor permintaan dan kos yang berpanjangan.

Ketika sidang media pada Mei 2023 untuk mengumumkan prestasi suku pertama Malaysia, BNM menjangkakan inflasi keseluruhan dan teras akan kekal lebih tinggi pada 2023 daripada paras prapandemik dengan purata antara 2.8 peratus dan 3.8 peratus untuk sepanjang tahun berkenaan.

Abdul Rasheed berkata kejatuhan nilai ringgit baru-baru ini tidak memberikan gambaran yang tepat tentang asas-asas ekonomi Malaysia.

Beliau berkata ekonomi Malaysia sangat berdaya tahan sepanjang tempoh pandemik.

"Ringgit dinilai rendah dan ia seharusnya meningkat bagi mencerminkan asas-asas ekonomi negara," katanya.

Pada 6 petang, Jumaat, ringgit ditutup pada 4.6655/6675 berbanding dolar AS, turun berbanding 4.6580/6630 ketika ditutup pada Khamis.

Abdul Rasheed berkata dagangan mata wang itu baru-baru ini didorong oleh perkembangan dan sentimen luaran dengan pergerakan dolar AS dan prestasi ekonomi China yang lebih lemah terus menjejaskan ringgit.

Selain itu, kenaikan secara beransur-ansur Kadar Dasar Semalaman (OPR) di Malaysia berbanding rakan utama dan serantau telah menjadikan kadar faedah dasar negara antara yang terendah di rantau ini.

Beliau berkata BNM komited untuk memastikan keadaan pasaran yang teratur dan akan campur tangan untuk mencegah turun naik ringgit yang berlebihan.

"Malaysia adalah ekonomi yang kecil dan terbuka dan apa yang berlaku di dunia memberi kesan kepada negara tetapi selama beberapa dekad, ekonomi kita telah berubah, dipelbagaikan daripada segi struktur ekonomi dan rakan dagang.

"Ini bermakna kita tidak terlalu bergantung kepada satu produk eksport sahaja atau rakan dagang tertentu," katanya.

Mengenai daya tahan ekonomi Malaysia, beliau berkata pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama 2023 adalah antara yang tertinggi di rantau ini dan Malaysia terus mencatatkan lebihan akaun semasa.

Imbangan akaun semasa Malaysia merekodkan lebihan sebanyak RM4.3 bilion atau 1.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2023.

"Melangkah ke hadapan, limpahan positif daripada pembukaan semula China dan prospek pertumbuhan ekonomi domestik yang sihat akan memberikan sokongan kepada ringgit," katanya.

Abdul Rasheed berkata keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM baru-baru ini untuk mengekalkan OPR pada 3.0 peratus adalah konsisten dengan mandat BNM untuk mengekalkan kestabilan harga bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan di negara ini.

Beliau berkata berdasarkan data yang dibentangkan kepada MPC, ekonomi berkembang dengan stabil dan permintaan domestik kekal berdaya tahan, ia amat penting memandangkan permintaan luaran yang lebih perlahan.

"Selain itu, harga masih meningkat tetapi berlaku pada kadar yang lebih perlahan. Ini menunjukkan kenaikan sebelum ini sebanyak 125 mata asas telah memberikan kesan positif kepada ekonomi dan membuahkan hasil.

Sumber dari Bernama

Sekarang bukan masa sesuai tambah hutang tak perlu

by

 


Ketidaktentuan ekonomi global yang didorong persekitaran kadar faedah yang tinggi, inflasi yang meningkat dan kelemahan ringgit menyebabkan sekarang bukan masa yang sesuai untuk menambah hutang yang tidak perlu, demikian saranan pakar kewangan.

Penasihat kewangan berlesen dan Pengarah Absorich Sdn Bhd, Dr Adam Zubir, berkata kini bukan masa yang sesuai untuk membuat hutang 'mahu' dan 'baharu', yang merujuk kepada pinjaman untuk menaik taraf kereta, rumah dan sebagainya, sebaliknya lebih wajar supaya simpanan kecemasan dibina semula.

Sehubungan, beliau menasihatkan hutang sedemikian tidak dibuat sekarang dan tahun depan memandangkan keadaan ekonomi global dijangka berdepan kegawatan. Malah, orang ramai perlu mengenal pasti aliran tunai masing-masing bagi mengelak terlebih berbelanja dan terperangkap dalam hutang tidak perlu.

Masa ini adalah sesuai membina semula simpanan. Nasihat saya ialah simpanan yang cukup untuk enam bulan sebagai tabung simpanan kecemasan, terutama ketika ini satu dunia (dijangka) mengharungi kegawatan ekonomi.

Kalau dunia berdepan kegawatan, Malaysia juga akan terkesan walaupun ekonomi Malaysia dilaporkan baik sekarang.

Beliau berkata, simpanan kecemasan untuk tempoh enam bulan mencukupi dalam persekitaran kadar faedah dan inflasi yang tinggi.

Berdasarkan data, masih ramai rakyat di negara ini tidak mempunyai wang simpanan sekurang-kurangnya RM1,000, justeru mempunyai simpanan kecemasan enam bulan dikira luar biasa dan mencukupi.

Dalam menguruskan kewangan ialah kenal pasti dulu masalah kewangan. Ramai yang tidak ambil apa-apa inisiatif kerana tidak tahu mereka ada masalah kewangan.

Mereka ingat adalah biasa untuk mempunyai hutang kad kredit RM10,000, RM20,000. Sebenarnya itu luar biasa. Mereka tidak tahu telah berbelanja lebih daripada pendapatan.

Berdasarkan pemerhatiannya juga, hutang kereta menjadi punca ramai anak muda muflis. Keadaan itu berlaku kerana mereka membeli kereta melebihi kemampuan kewangan yang kadang-kadang dipengaruhi gaya hidup dan kawan.

Hutang kereta punca ramai muflis. Bila salah beli kereta gelap masa depan. Kereta adalah liabiliti. Lebih baik beli kereta murah dulu dan kalau hendak naik taraf boleh dilakukan kemudian ketika kedudukan kewangan stabil dan mantap.

Sumber : Berita Harian

Isi rumah tanggung 5 anak ke atas terima RM2,500

by

 


BAJET 2023 menyaksikan isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan menanggung lima anak atau lebih, layak menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM2,500.

Sementara itu, bagi isi rumah sehingga empat anak, mereka layak menerima BKM antara RM1,000 hingga RM2,000.

Sebanyak RM10 bilion diperuntukkan untuk bantuan tunai Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Bantuan Keluarga Malaysia.

"Menyedari manfaat yang diraih daripada pemberian tunai langsung, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan terus ditambah baik," katanya.

Selain itu, tambahan RM500 akan diberikan kepada ibu atau bapa tunggal, dinaikkan jumlahnya kepada RM3,000 berbanding RM2,500.

Ini bermakna, ibu atau bapa tunggal layak menerima bantuan maksimum sehingga RM3,000. Kadar BKM maksimum ini meningkat berbanding RM2,500 tahun ini.

Kepada warga emas tiada pasangan serta golongan bujang pula, mereka akan terus menerima BKM masing-masing sebanyak RM600 dan RM350 bergantung kepada had pendapatan tertentu.

Bagi golongan ibu kepada isi rumah penerima BKM yang lahirkan anak pada tahun 2023, mereka akan menerima bantuan sebanyak RM500.

BKM 2023 akan memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima dengan peruntukan RM7.8 bilion.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, menerusi pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, pada petang Jumaat.


Kadar inflasi dijangka lebih tinggi pada 2022

by

 


RAM Ratings menyemak semula unjuran keseluruhan inflasi 2022 kepada 3.0 peratus daripada 2.5 peratus pada awalnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, agensi penarafan itu berkata semakan itu mengambil kira perubahan terbaharu subsidi dan harga siling bagi barangan makanan harga terkawal utama serta pelepasan kos bahan api dan penjanaan yang tinggi daripada jangkaan kepada pelanggan setakat ini bagi tahun ini.

Penarikan subsidi bagi minyak masak dalam botol, serta harga siling yang tinggi bagi barangan makanan seperti ayam dan telur, berkuat kuasa 1 Julai 2022.

"Kami menjangkakan langkah ini bagi menaikkan inflasi keseluruhan pada separuh kedua 2022 sebanyak kira-kira 0.3 mata peratusan. Inflasi makanan telah meningkat kepada 5.2 peratus pada Mei 2022, berbanding 3.2 peratus pada Disember 2021.

"Memandangkan tekanan harga yang berpanjangan yang dihadapi oleh perniagaan, lebih banyak pelepasan kos bahan api dan penjanaan kepada pengguna tidak dapat dielakkan pada separuh kedua 2022.

"Asas yang rendah disebabkan diskaun tarif elektrik PEMULIH pada suku ketiga 2021 turut mendorong kadar inflasi keseluruhan lebih tinggi pada tahun ini," kata agensi itu.

Sementara kerajaan sedang mempertimbangkan skim alternatif untuk subsidi petrol, subsidi semasa untuk petrol RON95 dan diesel, serta tarif elektrik dan air akan membantu meredakan tekanan inflasi selanjutnya, kata RAM Ratings.

Item ini secara kolektif membentuk hampir 13 peratus daripada bakul Indeks Harga Pengguna (IHP), kata agensi itu.

Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 2.25 peratus, tahun ini setakat ini, manakala kenaikan kadar faedah berlaku berikutan pemulihan ekonomi yang lebih kukuh dan momentum permintaan yang lebih kukuh, kata RAM Ratings.

"Unjuran kami yang dikemas kini adalah untuk OPR tahun ini berakhir pada 2.50 peratus. Selain kelembapan ekonomi yang tidak dijangka, kami menjangkakan kitaran pengetatan akan berterusan pada 2023, pada kadar dan kuantum yang terukur," tambahnya.

Sumber dari BERNAMA

Isi rumah Malaysia terus berbelanja besar meskipun inflasi

by

 


Berbeza dengan kelaziman yang mana pengguna akan mengurangkan perbelanjaan dalam situasi kenaikan harga barang, namun isi rumah di negara ini dijangka terus berbelanja besar meskipun berdepan inflasi.

Langkah itu sekali gus akan menyokong jualan runcit untuk terus kekal kukuh menuju ke hadapan, demikian kata penganalisis.

BIMB Securities Research dalam nota penyelidikannya berkata, buat masa ini, pihaknya yakin jualan runcit akan kekal kukuh memandangkan pengguna dijangka terus berbelanja dengan pembukaan semula ekonomi walaupun keutamaan perbelanjaan mungkin bertukar di tengah-tengah jangkaan inflasi tinggi.

Ia berkata, kemajuan dalam pasaran pekerjaan serta pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial akan menjadi pendorong kepada peningkatan jualan runcit dalam bulan mendatang.

"Peruncit domestik dijangka mendapat sedikit sokongan daripada pembukaan sempadan yang berterusan, melengkapi pemulihan dalam aktiviti domestik," katanya dalam nota penyelidikannya.

Jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan peningkatan 15.2 peratus tahun ke tahun pada April atau kepada RM128 bilion, jumlah tertinggi dalam sejarah. Peratusan itu juga lebih tinggi berbanding catatan bulan Mac iaitu 9.8 peratus.

Lonjakan itu juga adalah kenaikan bulanan ketujuh secara berturut-turut dan pertumbuhan dari segi peratusan tertinggi sejak Jun 2021.

Pengembangan ini disebabkan oleh jualan runcit yang meningkat sebanyak 20.9 peratus, manakala perdagangan borong dan jualan kenderaan bermotor juga meningkat masing-masing sebanyak 11.5 peratus dan 11.3 peratus.

BIMB Securities Research berkata, pertumbuhan perdagangan pengedaran dan jualan runcit yang teguh pada April tahun ini adalah permulaan yang kukuh untuk suku kedua dan terus menandakan persekitaran runcit domestik bertambah baik seiring dengan pasaran buruh yang lebih ketat dan yang lebih penting, kembalinya permintaan pelancong. 

"Kami kekal dengan pandangan bahawa jualan runcit domestik akan terus kekal disokong kukuh pada 2022, sejajar dengan prospek ekonomi yang positif, trend pembukaan semula dan pasaran buruh yang ketat walaupun ia mungkin dilembapkan oleh ketegangan geopolitik dan juga tekanan ke atas harga komoditi.

"Kami juga mengekalkan pandangan bahawa potensi peruntukkan belian awal pengguna tahun ini boleh menyokong jualan runcit menjelang kemungkinan pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)," katanya. 

Namun begitu, BIMB Securities Research menjangkakan harga runcit akan meningkat tahun ini berikutan kadar inflasi yang lebih tinggi, yang mana keadaan itu menjejaskan pendapatan boleh guna isi rumah, sekali gus mengurangkan perbelanjaan mereka dalam barangan lain. 

Ia berkata, pengguna kini lebih berhati-hati untuk berbelanja berikutan tekanan terhadap kewangan  mereka. 

"Kami menjangkakan peralihan ketara kepada jenama 'label sendiri' (produk lebih murah) , mengulangi apa yang kami lihat dalam krisis kewangan 2008-2009.

"Kami juga menjangkakan peningkatan tumpuan pada pilihan 'nilai untuk wang' memandangkan pengguna yang mementingkan kemampanan melihat  kepada pembelian yang mampu bertahan," katanya.

Sumber : Berita Harian

Ambil pembiayaan ASB ikut kemampuan

by

 

Orang ramai yang ingin mengambil Pembiayaan ASB dinasihatkan mengambil pinjaman berdasarkan kemampuan, bukannya kelayakan yang dibenarkan pihak bank.

Kelayakan pinjaman biasanya dibuat berdasarkan gaji pokok dan komitmen hutang semasa, namun seringkali berlaku walaupun pemohon layak mengambil sejumlah pinjaman, pendapatan bulanan mereka tidak mampu untuk menampung ansuran bulanan untuk jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Mohammad Hussin, berkata ASNB tidak menghalang atau menggalakkan orang ramai untuk mengambil Pembiayaan ASB kerana ia satu kemudahan yang baik jika dilakukan dengan strategi yang betul.

"Namun, perkara pertama yang penting ialah mengambil pembiayaan berdasarkan kemampuan untuk membayar ansuran bulanan menggunakan gaji bulanan dan tidak mengharapkan dividen semata-mata," katanya dalam temu bual, baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohammad berkata, untuk meraih manfaat maksimum daripada Pembiayaan ASB, pelabur sebenarnya tidak digalakkan untuk mengeluarkan dividen tahunan kerana ia membantu modal mereka berkembang.

"Ini berkait rapat dengan konsep kuasa kompaun, iaitu apabila dividen yang tidak dikeluarkan, turut menerima dividen. Dari tahun ke tahun, modal pelaburan akan berkembang kerana dividen turut menerima dividen," katanya.

Beliau berkata, seeloknya, dividen jangan dikeluarkan, tetapi dibiarkan supaya ia terus meningkat menerusi kesan kompaun dan ini memerlukan disiplin yang tinggi daripada pelabur," katanya.

Pembiayaan ASB ialah kemudahan yang ditawarkan oleh bank untuk membolehkan orang ramai melabur dalam ASB secara sekali gus dan pada masa sama, ia boleh membantu mereka yang mengambilnya melakukan 'pelaburan paksa'.

Namun, kesilapan dalam strategi, terutama apabila menggunakan dividen untuk membayar ansuran bulanan, boleh menyebabkan pelabur berasa kerugian apabila dividen ASB rendah, sedangkan mereka sebenarnya masih menerima pulangan selagi ASB memberi dividen.

Mohammad berkata, secara asasnya, risiko pelaburan ASB adalah rendah kerana harga unitnya adalah tetap kerana ia ditawarkan pada harga tetap RM1 seunit.

"Mungkin pulangan berbeza dari tahun ke tahun, namun pelabur tidak berdepan risiko kehilangan modal, jadi mereka sebenarnya tidak rugi," katanya.

Mohammad berkata, bagi yang membuat pembiayaan ASB, terdapat risiko tambahan iaitu kadar pembiayaan dan kemungkinan tidak mampu membayar ansuran bulanan.

"Disebabkan itu, kami meminta pelabur mengambil pembiayaan mengikut kemampuan kewangan supaya apabila berlaku perubahan pada kadar pembiayaan, dividen ASB atau komitmen mereka, mereka tiada masalah untuk membayar ansuran bulanan bagi pinjaman yang diambil," katanya.

Mohammad berkata, pelabur juga dinasihatkan supaya jangan mudah terikut dengan teknik pembiayaan ASB yang banyak diperkenalkan oleh sesetengah individu di luar sana.

Pihaknya khuatir pelabur yang tidak mempunyai pengetahuan pelaburan dan kewangan yang tinggi, akan menyalahkan
ASNB apabila pulangan ASB yang diperoleh adalah di bawah jangkaan mereka.

Mohammad juga menasihatkan, peminjam sedia ada yang belum menerima makluman terkini mengenai kadar pembiayaan mereka, supaya berbincang semula dengan pihak bank untuk mendapatkan kadar pembiayaan lebih rendah, berikutan kadar dasar semalaman (OPR) yang rendah pada masa ini.

"Peminjam berpeluang menerima kadar pembiayaan yang lebih rendah kerana penurunan OPR memberi kesan kepada Kadar Asas dan Kadar Pembiayaan Asas yang menentukan kadar pembiayaan ASB yang dikenakan oleh pihak bank," katanya.

OPR, yang menjadi penanda aras rujukan kadar pinjaman tempatan, kini berada pada paras terendah dalam sejarah iaitu sebanyak 1.75 peratus.

Secara keseluruhan, OPR yang telah diturunkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2020 adalah sebanyak 1.25 peratus dengan pengurangan OPR sebanyak empat kali pada tahun ini, iaitu pada Januari, Mac, Mei dan yang terbaharu pada 7 Julai yang lalu.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Tempoh moratorium pinjaman berakhir

by

 

Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan untuk memantau rapi amalan bank-bank dalam urusan menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman ekoran berakhirnya moratorium secara automatik bermula semalam.

Menurut bank pusat, peminjam yang menghadapi kesukaran berurusan dengan bank boleh menghubungi BNMTELELINK melalui laman web, bnmtelelink@bnm.gov.my.

Kemudahan moratorium selama enam bulan bermula April lalu telah memberi manfaat kepada lebih daripada tujuh juta peminjam individu dan lebih daripada 240,000 peminjam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Sehingga kini, pihak bank te­lah menerima kira-kira 500,000 permohonan bantuan bayaran balik pinjaman dan meluluskan 98 peratus daripadanya.

“Bank-bank berkenaan juga secara berasingan telah bertindak menghubungi lebih daripada dua juta peminjam menerusi te­lefon, e-mel dan sistem pesanan ringkas untuk menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman.

“Bagi permohonan yang masih diproses, bank-bank terbabit telah memberi komitmen untuk memaklumkan keputusan permohonan tersebut dengan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Selain itu, bank pusat menasihati peminjam yang mampu menyambung semula bayaran balik pinjaman bulanan agar te­rus berbuat demikian kerana ini dapat mengurangkan kos hutang dan pinjaman mereka secara ke­seluruhan.

“Meskipun keadaan ekonomi secara amnya bertambah baik tetapi mungkin ada sesetengah daripada peminjam mungkin akan menghadapi cabaran membuat bayaran balik pinjaman jika keadaan mereka sebaliknya berubah pada bulan akan datang.

“Jika perkara ini berlaku, pe­minjam masih boleh berurusan dengan bank untuk berbincang mengenai pengaturan bayaran balik pinjaman,” katanya.

Jelas bank pusat, semasa tempoh tersebut, institusi perbankan akan terus menawarkan pelbagai bentuk bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam.

Selain itu, peminjam boleh mendapatkan panduan dan pilihan bantuan alternatif daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Bank pusat berkata, industri perbankan juga telah bertindak aktif dan terus komited membantu isi rumah dan perniagaan yang memerlukan bantuan susulan berakhirnya kemudahan moratorium itu.

Bank-bank terbabit juga memperkenalkan pelbagai pakej untuk membantu peminjam terjejas termasuk lanjutan mo­ratorium secara bersasar serta fleksibiliti bayaran balik pinjaman bagi membantu peminjam berdasarkan keadaan kewangan mereka.

Menurut BNM, sesi ini terma­suk kempen bantuan pembayaran balik pinjaman di seluruh negara serta perbincangan dan interaksi secara langsung dengan pelbagai kumpulan berkepentingan termasuk persatuan-persa­tuan PKS.

“Bagi melancarkan proses permohonan ini, institusi perbankan telah memudahkan langkah permohonan seperti membolehkan permohonan secara dalam talian dan melanjutkan waktu urusan cawangan bank (termasuk hujung minggu),” kata bank pusat.

 

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90