Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label ijn. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ijn. Papar semua catatan

Kuat merokok punca serangan jantung

by

 


Tabiat me­rokok menjadi punca utama pe­nyakit jantung dalam kalangan kaum lelaki di negara ini sehingga membawa kepada kematian pada usia muda seawal 30 tahun.

Felo Klinikal Kardiologi & Pakar Perubatan Dalaman, Institut Jantung Negara, Dr. Iskandar Mirza Amran berkata, ramai rakyat negara ni menyedari tabiat itu memberi kesan buruk atau mudarat terhadap kaum lelaki.

Tabiat merokok mampu memberi kesan kepada saluran darah. Jika keadaan itu berlanjutan, ia akan menyebabkan saluran darah tertutup sehingga berlaku keradangan akibat nikotin. Keadaan itu seterusnya menyebabkan berlaku serangan jantung.

Menurut beliau, selain merokok, penyakit darah tinggi, kencing manis, kolestrol tinggi disebabkan pemakanan dan genetik turut menyumbang kepada serangan jantung.

Jelas Dr. Iskandar, bagi kes kematian mengejut ketika bersukan pula, kebanyakannya adalah disebabkan rentak jantung yang tidak normal.

“Ada banyak faktor menyebabkan rentak jantung menjadi tidak normal antaranya seseorang itu mempunyai sejarah serangan jantung. Selain itu, ada sesete­ngah lelaki dilahirkan dalam keadaan jantung tidak normal.

“Oleh itu apabila bersukan atau melakukan aktiviti yang memerlukan banyak tenaga, jantung perlu mengepam lebih kuat seterusnya menyebabkan rentak jantung bermasalah dan terhenti secara tiba-tiba,” ujarnya.

Dr. Iskandar turut menegaskan, lelaki di negara ini perlu melakukan pemeriksaan jantung pada peringkat umur awal bagi mengesan sebarang tanda tidak normal pada organ tersebut.

Di United Kingdom misalnya, pemeriksaan jantung dalam kalangan lelaki dibuat seawal usia 20 tahun. Jika normal mereka perlu melakukan pemeriksaan secara rutin dalam masa tiga hingga empat tahun sekali.

Namun di Malaysia, masih belum ada pemeriksaan mandatori secara spesifik dan kebanyakan lelaki hanya membuat pemeriksaan ketika usia mereka sudah meningkat 40 tahun,” katanya.

Perkara itu perlu diubah dan pemeriksaan yang lebih awal serta kerap perlu dilaksanakan sekali gus dapat mengambil langkah proaktif bagi mengelak kematian awal.

Kematian pada usia muda akibat serangan jantung semakin me­ningkat sejak pandemik Covid-19 disebabkan tekanan di tempat kerja dan masalah kewangan yang memberi kesan kepada golongan tersebut.

Pakar-pakar kesihatan mendedahkan berdasarkan maklumat sebahagian orang muda berusia dalam lingkungan 30-an yang meninggal dunia tidak me­nyedari mereka mempunyai masalah pada jantung. 

Sumber dari Kosmo!

Transposition of Great Arteries (TGA)

by

 

Dalam setiap 50,000 kelahiran, ada beberapa orang bayi yang dilahirkan dengan masalah TGA seperti Umar. Transposition of Great Arteries (TGA) atau Salur Arteri Terbalik adalah masalah jantung jenis biru (cyanotic heart defects) di mana pesakit kelihatan kebiruan semasa dilahirkan.

Pembuluh darah aorta (salur darah berwarna merah) dan pulmonari arteri (salur darah berwarna biru) bertukar tempat (terbalik) dan keluar dari ventrikal secara salah. Ini menyebabkan pengaliran darah yang terbalik di mana darah yang kembali dari badan tidak pergi ke paru-paru tetapi kembali ke badan semula menyebabkan bayi mengalami kebiruan.

Bayi yang dilahirkan dengan masalah TGA perlu menjalani pembedahan segera (dalam kes Umar, pembedahan pada usia 22 hari). Jika tidak, kemungkinan bayi tersebut tidak dapat bernafas secara normal dan akan menyebabkan kematian. Berbeza dengan bayi pesakit jantung berlubang di mana lubang tersebut boleh tertutup sendiri tanpa perlu pembedahan.

Di Malaysia, Institut Jantung Negara (IJN) dan beberapa hospital swasta ada kepakaran untuk merawat dan memulihkan masalah jantung TGA ini.
 
 

Ulangtahun Ke-2 Umar Pesakit Jantung TGA

by


Umar. 2 tahun. Waktu dilahirkan jam 4.42 petang 6 November 2013, seluruh badannya biru (gelap). Dia agak lambat menangis. Dikejarkan ke Unit ICU Pediatrik tanpa diletakkan di atas badan ibunya. Ibunya tak sempat pun melihat wajah Umar. Baru saya tahu itu prosedur apabila bayi disyaki ada masalah.

Berbeza dengan adiknya Uwais yang diletakkan di atas badan ibu sejurus selepas lahir. Selepas itu bapa boleh azan bayi. Ketika troli katil ditolak ke wad, bayi diletak di celah kaki ibu. Itu tanda bayi itu sihat.

Saya hanya boleh azan Umar tiga jam kemudian selepas dia dibersihkan, disambung dengan oksigen dan pelbagai wayar di seluruh badan dan diletakkan di dalam bekas khas.




Selepas dua doktor pakar Hospital Kuala Terengganu memeriksa Umar, mereka cuba menghubungi HUSM Kubang Kerian namun mereka menolak dengan alasan doktor pakar sedang bercuti. Mujurlah pihak Institut Jantung Negara (IJN) memberi lampu hijau untuk menerima Umar. Hospital Kuala Terengganu tiada kemudahan untuk pembedahan jantung.

Selepas itu baru saya tahu yang Umar biru kerana ada masalah jantung namun doktor ketika itu belum menjelaskannya secara terperinci.

Menjelang tengah malamnya saya mendapat panggilan telefon di mana Umar mesti dihantar ke Kuala Lumpur pada malam itu juga. Saya bersama dua orang doktor dan dua jururawat menaiki ambulans ke IJN. Ibunya tidak dibenarkan ikut sama oleh doktor kerana masih lemah. 

Umar bergantung sepenuhnya dengan bantuan oksigen. Memandangkan perjalanan yang jauh, ambulans terpaksa berhenti di Hospital Kemaman untuk menukar tangki oksigen.


Sebaik tiba di IJN, seorang doktor pakar menerangkan secara terperinci masalah jantung yang dihadapi oleh Umar. Dua salur injap utama jantung Umar berada dalam kedudukan terbalik. Prosedur pertama untuk menstabilkan tekanan oksigen adalah dengan memasukkan belon khas ke jantung Umar.


Kes Umar diberi keutamaan oleh IJN kerana dia perlu dibedah segera. Dua minggu selepas itu pembedahan besar yang dipanggil Transposition of Great Arteries (TGA) Operation dijalankan ke atas Umar untuk menukar salur injap arteri jantung kiri ke kanan dan salur arteri kanan ke kiri. Pembedahan ini memakan masa lebih enam jam.


Selepas pembedahan, dada Umar tidak dijahit lagi bagi mengelakkan berlaku keadaan di luar jangka. Dadanya hanya dijahit 24 jam selepas itu. Alhamdulillah, selepas 48 jam waktu kritikal selepas pembedahan, Umar mulai sedar. Semangatnya untuk hidup memang kuat dengan rahmat Allah SWT dan berkat doa keluarga dan rakan-rakan.


Kini, selepas dua tahun, sepanjang pemeriksaan susulan di HSNZ dan IJN, doktor berpuashati dengan keadaan salur injap utama dan tekanan oksigen jantung Umar. Semoga Allah SWT sentiasa memberi kesihatan yang baik buat anakanda Umar. Ameen.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkan di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) MUHAMMAD AHSAN UMAR : 1111441100060894


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90