Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Guru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Guru. Papar semua catatan

Tak salah guna media sosial, guru diingat patuhi garis panduan KPM

by

 


Kementerian Pendidikan (KPM) memiliki garis panduan berkaitan penggunaan media sosial dalam kalangan guru dan sentiasa memantau keadaan itu bagi memastikan ia tidak disalah guna bagi tujuan tertentu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata justeru itu, golongan guru tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahgunakan platform terbabit dan tindakan tegas akan diambil jika terbukti mereka melanggar garis panduan berkenaan.

"Kita memang sudah ada garis panduan itu, termasuk kandungan yang dihasilkan mestilah memberikan pedoman dan untuk tujuan yang baik, kita pantau perkara terbabit dari semasa ke semasa dan ia memang dalam radar pemantauan.

"Kita minta guru juga sama-sama memastikan garis panduan itu dipatuhi kerana ia sudahpun dilaksanakan... mereka tidak boleh sewenang-wenangnya (guna media sosial) kerana ada garis panduan dan mereka tahu akan perkara itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional KPM kali ke-8.

Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang meminta KPM menguatkuasakan undang-undang bagi mengekang tindakan guru memuat naik bahan berkaitan isu dalaman sekolah di media sosial bagi mengelakkan impak negatif terhadap institusi pendidikan negara.

Fadhlina juga berkata, kadar kebolehpasaran graduan kolej vokasional (KV) setiap tahun mencatatkan 98 peratus sekali gus membuktikan kemahiran mereka sangat diperlukan dalam industri malah lebih 70 peratus mendapat kerja sebelum konvokesyen.

Beliau berkata, KPM juga sentiasa memberi tumpuan kepada aspek baharu dalam sektor tertentu untuk dipenuhi termasuk industri automotif, kenderaan elektrik, teknologi hidrogen dan kecerdasan buatan selaras hala tuju negara memperkasakan bidang berkenaan.

Fadhlina berkata, pihaknya juga mengambil tindakan proaktif dengan mengadakan hubungan rapat serta menjalin kerjasama strategik dengan agensi swasta dan industri bagi memastikan graduan KV mendapat pengetahuan serta pengalaman terus daripada industri.

"Pembabitan aktif murid KV dalam pertandingan kemahiran pada peringkat nasional dan antarabangsa juga menjadi kebanggaan KPM… pencapaian inovasi pelajar KV sangat mengagumkan dan saya percaya graduan KV bakal memimpin industri dan negara," katanya.

Seramai 6,616 graduan KV seluruh negara diraikan dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama lima hari bermula 29 Februari lalu.

Sumber dari Berita Harian

16,886 hingga 20,081 guru baharu sepanjang 2023-2027

by


 

Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan unjuran pengambilan 16,886 hingga 20,081 guru baharu sekolah KPM bagi tahun ini hingga 2027.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata penyediaan unjuran bagi tempoh itu berdasarkan data pada 31 Disember 2022, bertujuan mengurangkan beban guru, membabitkan sekolah menengah dan sekolah rendah.

"KPM akan sentiasa menyemak data unjuran dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.

"Urusan pengambilan ini akan berterusan bagi tahun ini dan seterusnya bagi mengisi kekosongan di sekolah," katanya menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, bagi tempoh 2021 hingga Januari lalu, KPM sudah melaksanakan pengambilan 22,327 guru, membabitkan 148 bidang pengkhususan melalui kaedah 'one-off' dan kluster mata pelajaran sebagai strategi untuk memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi.

"Beberapa bidang pengkhususan diberi perhatian, antaranya adalah Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Matematik dan Sejarah," katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing), beliau berkata, KPM sentiasa prihatin terhadap tahap penguasaan akademik murid sekolah rendah dan menengah, khususnya di kawasan luar bandar, kesan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, KPM melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran secara optimum.

Katanya, pada peringkat sekolah rendah, KPM memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi atau Primary Literacy and Numeracy (PLaN) untuk memastikan murid menguasai sekurang-kurangnya tahap minimum (Tahap Penguasaan 3).

"Modul latihan intervensi berfokus dan terbeza (MoLIB) dan Schemes of Work (SOW) juga disediakan untuk kegunaan guru bagi menangani isu penguasaan 3M dalam kalangan murid.

"Selain itu, PLaN juga menyediakan bahan bantu belajar murid serta item pentaksiran untuk menyokong pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)," katanya.

Selain itu, Hui Ying berkata, KPM juga memberi keutamaan untuk menyelesaikan isu sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak.

"Kita akan tumpukan untuk bantu sekolah daif di skala enam dan tujuh, terutama di Sabah dan Sarawak, yang mempunyai bangunan sekolah daif yang banyak.

"Lebih 79 peratus sekolah daif yang dikenal pasti KPM adalah di Sabah dan Sarawak.

"Kita memang sudah ada perancangan untuk membina bangunan gantian bagi sekolah daif yang sudah dikenal pasti ini," katanya.

Sumber dari Berita Harian

Tiada kuota tertentu pengambilan guru

by

 


Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan ada kuota pengambilan guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41, termasuk guru kontrak.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata berikutan itu tidak timbul soal ada graduan ikhtisas pendidikan 'mencuri' kuota yang sepatutnya diberikan kepada graduan tanpa ikhtisas pendidikan.

Beliau berkata, sejak awal lagi kementerian itu sudah menegaskan keutamaan diberikan kepada graduan yang mempunyai ikhtisas pendidikan.

Katanya, selepas kekosongan dipenuhi graduan ikhtisas pendidikan yang layak, barulah kementerian itu menawarkan pula perjawatan kepada graduan bukan ikhtisas pendidikan.

Radzi berkata, senarai nama kira-kira 4,000 graduan bukan ikhtisas pendidikan itu diberikan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mendapatkan perakuan khusus, bagi membolehkan mereka dipilih oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

"SPP akan pilih berapa ramai ia nak. Yang paling penting, ia perlu menyelesaikan dahulu pengambilan graduan ikhtisas pendidikan dan apa baki yang ada, barulah ditawarkan kepada graduan bukan ikhtisas pendidikan.

"Jadi, tidak timbul dakwaan yang mengatakan ada kuota 4,000 graduan bukan ikhtisas pendidikan. Tidak ada perkara itu kerana tidak ada kuota.

"Apa yang berlaku ialah mereka ini disenarai-pendek. Apabila disenarai-pendek, ia tidak bermakna mereka akan mendapat jawatan itu," katanya, di sini hari ini.

Radzi berkata, turut dibangkitkan isu tiada graduan bukan ikhtisas pendidikan yang diterima memenuhi opsyen mata pelajaran tertentu.

Beliau berkata, dalam pemilihan itu juga keutamaan diberikan kepada graduan ikhtisas pendidikan, sebelum boleh ditawarkan kepada yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan.

Selain itu, beliau berkata, selepas menyelesaikan isu penawaran jawatan guru kepada graduan ikhtiasas pendidikan, kementerian itu mendapati ada kira-kira 200 calon yang layak, namun belum mendapat surat dari senat universiti masing-masing.

Beliau berkata, mereka ini tidak boleh diketepikan kerana bukan kelemahan mereka tidak menerima surat berkenaan.

"Secara teknikal, kita mengambil mereka ini melalui guru kontrak. Ini tidak ada kaitan dengan guru kontrak graduan tanpa ikhtisas pendidikan. Kita gunakan laluan lain," katanya.

Sebelum ini, KPM dikritik termasuk didakwa guru kontrak satu bentuk penipuan, manakala SPP didakwa tidak telus dalam pengambilan berkenaan

Sebuah portal mendakwa seorang calon menyatakan kuota pengambilan kali ini dikurangkan, selepas pengumuman Radzi keputusan untuk 2,400 calon guru kontrak akan diumumkan sebelum 31 Mei 2022.

Sabtu lalu, Radzi memaklumkan KPM melanjutkan kontrak 2,683 guru pengambilan 2020 yang akan tamat Khamis ini.

Sumber dari Berita Harian

Guru besar dan pengetua tidak boleh lagi halang pertukaran guru

by

 


Guru kini boleh membuat permohonan pertukaran sepanjang tahun susulan garis panduan baharu dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menggantikan garis panduan sedia ada yang dikeluarkan pada 1975.

Permohonan pertukaran sekolah oleh guru juga kini tidak boleh dihalang guru besar atau pengetua yang sebelum ini mempunyai kuasa untuk memberi kelulusan.

Mengumumkan keputusan terbaharu itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pengumuman untuk pertukaran guru pula diubah kepada empat kali setahun berbanding hanya dua kali setahun sebelum ini.

Jika dulu, pengumuman untuk pertukaran guru adalah dua kali setahun, tetapi sekarang kita umum empat kali setahun dan permohonan boleh dibuat sepanjang tahun.

Sebelum ini, permohonan pertukaran juga memerlukan kelulusan guru besar atau pengetua, tetapi kini guru atau pengetua hanya dibenarkan untuk memberi ulasan, tidak boleh menghalang pertukaran guru-guru.

Justeru, perkara ini juga memberi peluang kepada semua guru, termasuk yang cemerlang untuk bergerak dari satu sekolah ke sekolah yang lain untuk menyumbang bakti.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 bertemakan 'Guru Tunjang Sekolah Sejahtera' di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok.

Radzi berkata, bagi tahun 2021, guru yang berjaya dalam pertukaran berjumlah 55 peratus daripada keseluruhan permohonan.

Secara purata setiap tahun, jumlah permohonan pertukaran guru adalah melebihi 20,000 orang dan tahun lalu kita menerima sebanyak 23,000 permohonan.

Permohonan pertukaran paling tinggi adalah untuk masuk ke Kelantan dengan subjek Pendidikan Islam dan sedangkan guru subjek itu sudah penuh di Kelantan.

Kapasiti guru di Kelantan juga adalah seramai 29,000 orang dan perlu menunggu kekosongan, misalnya guru pencen atau berhenti.

Radzi berkata, Kelantan juga kekurangan guru bagi subjek kritikal iaitu Bahasa Inggeris masing-masing lebih 400 orang guru bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan lebih 200 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Sumber : Berita Harian

Guru tidak perlu pakai pelitup muka ketika mengajar mulai 1 Mei 2022

by

 


Golongan pendidik, khususnya para guru tidak lagi perlu memakai pelitup muka ketika sedang mengajar di dalam kelas bermula 1 Mei 2022.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, guru-guru dibenarkan untuk menanggalkan pelitup muka ketika sedang menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.

Bagaimanapun, murid-murid masih perlu memakai pelitup muka sebagaimana arahan Kementerian Kesihatan (KKM) yang masih mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika berada di dalam bangunan. 

Sumber : Kosmo!


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90