Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Guru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Guru. Papar semua catatan

Tak salah guna media sosial, guru diingat patuhi garis panduan KPM

by

 


Kementerian Pendidikan (KPM) memiliki garis panduan berkaitan penggunaan media sosial dalam kalangan guru dan sentiasa memantau keadaan itu bagi memastikan ia tidak disalah guna bagi tujuan tertentu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata justeru itu, golongan guru tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahgunakan platform terbabit dan tindakan tegas akan diambil jika terbukti mereka melanggar garis panduan berkenaan.

"Kita memang sudah ada garis panduan itu, termasuk kandungan yang dihasilkan mestilah memberikan pedoman dan untuk tujuan yang baik, kita pantau perkara terbabit dari semasa ke semasa dan ia memang dalam radar pemantauan.

"Kita minta guru juga sama-sama memastikan garis panduan itu dipatuhi kerana ia sudahpun dilaksanakan... mereka tidak boleh sewenang-wenangnya (guna media sosial) kerana ada garis panduan dan mereka tahu akan perkara itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional KPM kali ke-8.

Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang meminta KPM menguatkuasakan undang-undang bagi mengekang tindakan guru memuat naik bahan berkaitan isu dalaman sekolah di media sosial bagi mengelakkan impak negatif terhadap institusi pendidikan negara.

Fadhlina juga berkata, kadar kebolehpasaran graduan kolej vokasional (KV) setiap tahun mencatatkan 98 peratus sekali gus membuktikan kemahiran mereka sangat diperlukan dalam industri malah lebih 70 peratus mendapat kerja sebelum konvokesyen.

Beliau berkata, KPM juga sentiasa memberi tumpuan kepada aspek baharu dalam sektor tertentu untuk dipenuhi termasuk industri automotif, kenderaan elektrik, teknologi hidrogen dan kecerdasan buatan selaras hala tuju negara memperkasakan bidang berkenaan.

Fadhlina berkata, pihaknya juga mengambil tindakan proaktif dengan mengadakan hubungan rapat serta menjalin kerjasama strategik dengan agensi swasta dan industri bagi memastikan graduan KV mendapat pengetahuan serta pengalaman terus daripada industri.

"Pembabitan aktif murid KV dalam pertandingan kemahiran pada peringkat nasional dan antarabangsa juga menjadi kebanggaan KPM… pencapaian inovasi pelajar KV sangat mengagumkan dan saya percaya graduan KV bakal memimpin industri dan negara," katanya.

Seramai 6,616 graduan KV seluruh negara diraikan dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama lima hari bermula 29 Februari lalu.

Sumber dari Berita Harian

16,886 hingga 20,081 guru baharu sepanjang 2023-2027

by


 

Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan unjuran pengambilan 16,886 hingga 20,081 guru baharu sekolah KPM bagi tahun ini hingga 2027.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata penyediaan unjuran bagi tempoh itu berdasarkan data pada 31 Disember 2022, bertujuan mengurangkan beban guru, membabitkan sekolah menengah dan sekolah rendah.

"KPM akan sentiasa menyemak data unjuran dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.

"Urusan pengambilan ini akan berterusan bagi tahun ini dan seterusnya bagi mengisi kekosongan di sekolah," katanya menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, bagi tempoh 2021 hingga Januari lalu, KPM sudah melaksanakan pengambilan 22,327 guru, membabitkan 148 bidang pengkhususan melalui kaedah 'one-off' dan kluster mata pelajaran sebagai strategi untuk memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi.

"Beberapa bidang pengkhususan diberi perhatian, antaranya adalah Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Matematik dan Sejarah," katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing), beliau berkata, KPM sentiasa prihatin terhadap tahap penguasaan akademik murid sekolah rendah dan menengah, khususnya di kawasan luar bandar, kesan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, KPM melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran secara optimum.

Katanya, pada peringkat sekolah rendah, KPM memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi atau Primary Literacy and Numeracy (PLaN) untuk memastikan murid menguasai sekurang-kurangnya tahap minimum (Tahap Penguasaan 3).

"Modul latihan intervensi berfokus dan terbeza (MoLIB) dan Schemes of Work (SOW) juga disediakan untuk kegunaan guru bagi menangani isu penguasaan 3M dalam kalangan murid.

"Selain itu, PLaN juga menyediakan bahan bantu belajar murid serta item pentaksiran untuk menyokong pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD)," katanya.

Selain itu, Hui Ying berkata, KPM juga memberi keutamaan untuk menyelesaikan isu sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak.

"Kita akan tumpukan untuk bantu sekolah daif di skala enam dan tujuh, terutama di Sabah dan Sarawak, yang mempunyai bangunan sekolah daif yang banyak.

"Lebih 79 peratus sekolah daif yang dikenal pasti KPM adalah di Sabah dan Sarawak.

"Kita memang sudah ada perancangan untuk membina bangunan gantian bagi sekolah daif yang sudah dikenal pasti ini," katanya.

Sumber dari Berita Harian

Tiada kuota tertentu pengambilan guru

by

 


Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan ada kuota pengambilan guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41, termasuk guru kontrak.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata berikutan itu tidak timbul soal ada graduan ikhtisas pendidikan 'mencuri' kuota yang sepatutnya diberikan kepada graduan tanpa ikhtisas pendidikan.

Beliau berkata, sejak awal lagi kementerian itu sudah menegaskan keutamaan diberikan kepada graduan yang mempunyai ikhtisas pendidikan.

Katanya, selepas kekosongan dipenuhi graduan ikhtisas pendidikan yang layak, barulah kementerian itu menawarkan pula perjawatan kepada graduan bukan ikhtisas pendidikan.

Radzi berkata, senarai nama kira-kira 4,000 graduan bukan ikhtisas pendidikan itu diberikan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mendapatkan perakuan khusus, bagi membolehkan mereka dipilih oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

"SPP akan pilih berapa ramai ia nak. Yang paling penting, ia perlu menyelesaikan dahulu pengambilan graduan ikhtisas pendidikan dan apa baki yang ada, barulah ditawarkan kepada graduan bukan ikhtisas pendidikan.

"Jadi, tidak timbul dakwaan yang mengatakan ada kuota 4,000 graduan bukan ikhtisas pendidikan. Tidak ada perkara itu kerana tidak ada kuota.

"Apa yang berlaku ialah mereka ini disenarai-pendek. Apabila disenarai-pendek, ia tidak bermakna mereka akan mendapat jawatan itu," katanya, di sini hari ini.

Radzi berkata, turut dibangkitkan isu tiada graduan bukan ikhtisas pendidikan yang diterima memenuhi opsyen mata pelajaran tertentu.

Beliau berkata, dalam pemilihan itu juga keutamaan diberikan kepada graduan ikhtisas pendidikan, sebelum boleh ditawarkan kepada yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan.

Selain itu, beliau berkata, selepas menyelesaikan isu penawaran jawatan guru kepada graduan ikhtiasas pendidikan, kementerian itu mendapati ada kira-kira 200 calon yang layak, namun belum mendapat surat dari senat universiti masing-masing.

Beliau berkata, mereka ini tidak boleh diketepikan kerana bukan kelemahan mereka tidak menerima surat berkenaan.

"Secara teknikal, kita mengambil mereka ini melalui guru kontrak. Ini tidak ada kaitan dengan guru kontrak graduan tanpa ikhtisas pendidikan. Kita gunakan laluan lain," katanya.

Sebelum ini, KPM dikritik termasuk didakwa guru kontrak satu bentuk penipuan, manakala SPP didakwa tidak telus dalam pengambilan berkenaan

Sebuah portal mendakwa seorang calon menyatakan kuota pengambilan kali ini dikurangkan, selepas pengumuman Radzi keputusan untuk 2,400 calon guru kontrak akan diumumkan sebelum 31 Mei 2022.

Sabtu lalu, Radzi memaklumkan KPM melanjutkan kontrak 2,683 guru pengambilan 2020 yang akan tamat Khamis ini.

Sumber dari Berita Harian

Guru besar dan pengetua tidak boleh lagi halang pertukaran guru

by

 


Guru kini boleh membuat permohonan pertukaran sepanjang tahun susulan garis panduan baharu dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menggantikan garis panduan sedia ada yang dikeluarkan pada 1975.

Permohonan pertukaran sekolah oleh guru juga kini tidak boleh dihalang guru besar atau pengetua yang sebelum ini mempunyai kuasa untuk memberi kelulusan.

Mengumumkan keputusan terbaharu itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pengumuman untuk pertukaran guru pula diubah kepada empat kali setahun berbanding hanya dua kali setahun sebelum ini.

Jika dulu, pengumuman untuk pertukaran guru adalah dua kali setahun, tetapi sekarang kita umum empat kali setahun dan permohonan boleh dibuat sepanjang tahun.

Sebelum ini, permohonan pertukaran juga memerlukan kelulusan guru besar atau pengetua, tetapi kini guru atau pengetua hanya dibenarkan untuk memberi ulasan, tidak boleh menghalang pertukaran guru-guru.

Justeru, perkara ini juga memberi peluang kepada semua guru, termasuk yang cemerlang untuk bergerak dari satu sekolah ke sekolah yang lain untuk menyumbang bakti.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 bertemakan 'Guru Tunjang Sekolah Sejahtera' di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok.

Radzi berkata, bagi tahun 2021, guru yang berjaya dalam pertukaran berjumlah 55 peratus daripada keseluruhan permohonan.

Secara purata setiap tahun, jumlah permohonan pertukaran guru adalah melebihi 20,000 orang dan tahun lalu kita menerima sebanyak 23,000 permohonan.

Permohonan pertukaran paling tinggi adalah untuk masuk ke Kelantan dengan subjek Pendidikan Islam dan sedangkan guru subjek itu sudah penuh di Kelantan.

Kapasiti guru di Kelantan juga adalah seramai 29,000 orang dan perlu menunggu kekosongan, misalnya guru pencen atau berhenti.

Radzi berkata, Kelantan juga kekurangan guru bagi subjek kritikal iaitu Bahasa Inggeris masing-masing lebih 400 orang guru bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan lebih 200 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Sumber : Berita Harian

Guru tidak perlu pakai pelitup muka ketika mengajar mulai 1 Mei 2022

by

 


Golongan pendidik, khususnya para guru tidak lagi perlu memakai pelitup muka ketika sedang mengajar di dalam kelas bermula 1 Mei 2022.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, guru-guru dibenarkan untuk menanggalkan pelitup muka ketika sedang menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.

Bagaimanapun, murid-murid masih perlu memakai pelitup muka sebagaimana arahan Kementerian Kesihatan (KKM) yang masih mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika berada di dalam bangunan. 

Sumber : Kosmo!

Guru perlu tingkat kemahiran ilmu pentaksiran formatif

by

 

Ditulis oleh Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin

Pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Pandemik COVID-19 menjadikan medium pendidikan bertukar kepada pelantar digital. Guru juga menukar sebahagian besar pentaksiran pembelajaran kepada medium sama.

Penggunaan alat pentaksiran pembelajaran digital memudahkan guru memperoleh, menyimpan dan menganalisis pencapaian pelajar. Ini kerana ia mempunyai ciri disifatkan 'automatik' yang dapat memberikan hasil atau keputusan serta-merta dan ia semestinya memberi kelebihan kepada guru.

Pandemik COVID-19 menggalakkan lebih ramai guru mempelajari kaedah pentaksiran dengan pelantar digital. Untuk tahun mendatang, penggunaan teknologi digital dalam pentaksiran, khususnya pentaksiran bilik darjah (PBD), akan menjadi lebih kuat.

Alat teknologi digital sedemikian menyediakan lebih ruang kepada guru menjadikan amalan pentaksiran lebih pantas, bahkan serta-merta.

Persekolahan 2022 tampak lebih teradun dengan kombinasi antara medium bersemuka dan digital. Kaedah selang-seli kumpulan pelajar hadir ke sekolah untuk pembelajaran bersemuka sebenarnya membuka ruang pembelajaran teradun mengambil tempat.

Maksudnya, pelajar tidak ke sekolah boleh diberikan tugasan yang dapat memperkukuhkan pembelajaran mereka, meskipun tidak berada di bilik darjah, mereka masih boleh berkomunikasi dengan guru melalui aplikasi Telegram atau WhatsApp.

Menuju ke hadapan, guru harus diperkasakan dengan kaedah PBD yang lebih inovatif. Maksudnya, adunan medium bersemuka dan digital, selain pentaksiran formatif dan sumatif.

Pentaksiran sumatif lazimnya ialah ujian dan peperiksaan. Sifatnya lebih objektif dan mudah dikendalikan. Pentaksiran formatif pula lebih subjektif kerana sifatnya berterusan, lebih pelbagai dan banyak membabitkan budi bicara guru.

Memandangkan pentaksiran formatif lebih mencabar dilaksanakan kerana guru memerlukan ilmu dan kemahiran pentaksiran alternatif, maka ilmu dan kemahiran diperlukan wajar diperkasakan untuk guru. Satu daripada cara adalah melalui program latihan dalam perkhidmatan.

Beberapa contoh pentaksiran formatif ialah pentaksiran pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan masalah, atau pembelajaran berasaskan pengalaman.

Kaedah lazim digunakan ialah mentaksir kemahiran komunikasi pelajar, kemahiran kerja berpasukan, kemahiran berfikir kritis dan kreatif, serta mentaksir penguasaan isi kandungan subjek.

Penggunaan rubrik menjadi amat penting dalam PBD berpaksikan pentaksiran formatif. Pembinaan rubrik yang baik memerlukan kepakaran pentaksiran kerana rubrik dibina harus terlebih dahulu dinilai dan disemak semula oleh sekumpulan pakar pentaksiran.

Untuk 2022 dan seterusnya, pentadbir sekolah dan guru boleh menjadikan agenda pemerkasaan PBD berpaksikan pentaksiran formatif atau sumatif sebagai agenda utama.

Ramai guru sudah mahir dengan kaedah pentaksiran secara ujian dan peperiksaan. Bahkan, ramai pernah berpeluang menjadi pemeriksa kertas peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Maka, penggunaan kaedah pentaksiran sebegini tidak menjadi cabaran besar guru. Cabaran sebenar ialah PBD berteraskan pentaksiran formatif ini.

Guru perlukan lebih masa untuk mempelajari selok-belok PBD sebegini. Pentadbir sekolah disaran menjalin kerjasama dengan pihak luar, khasnya universiti bagi mendapatkan kepakaran ini.

Universiti memiliki pakar yang boleh memberi nasihat dan bimbingan kepada guru untuk memperkasakan PBD. Sekolah boleh melantik pakar sebagai rakan kongsi utama sekolah yang kemudian membentuk kumpulan pakar PBD di sesebuah sekolah terdiri dalam kalangan guru.

Lebih baik jika setiap bidang iaitu sains dan matematik, kemanusiaan, bahasa, serta teknik dan vokasional mempunyai pakar PBD sendiri. Ini kerana PBD tidak dapat dipisahkan dengan subjek atau bidang memandangkan unsur penguasaan isi kandungan subjek atau bidang masih menjadi pertimbangan pentaksiran yang penting.

Memandang ke hadapan, pemerkasaan PBD berpaksikan pentaksiran formatif harus dilaksanakan dengan strategi dinyatakan iaitu teknologi digital, berkolaborasi dengan pakar pentaksiran, serta membentuk kumpulan pakar PBD dalam kalangan guru di setiap sekolah.

Sumber : Berita Harian

 

 

 

Di mana guru selepas waktu sekolah?

by

 

SOP selepas tamat waktu persekolahan juga harus dipantau bagi memastikan penularan Covid-19 tidak merebak dalam kalangan pelajar.

 

Surat dari pembaca ini disiarkan di akhbar Utusan pada 28 September 2020.

SAUDARA PENGARANG,

Penularan pandemik Covid-19 masih belum berakhir, malah angka jangkitan semakin meningkat sejak kebelakangan ini sekali gus amat merisaukan.

Walaupun tiada tanda untuk pulih, orang ramai tetap mengambil kesempatan untuk bercuti di dalam negara.

Ya, ia amat bagus dalam membantu ekonomi untuk pulih, namun apa yang dirisaukan adalah kemungkinan virus itu berjangkit amat tinggi terutama melibatkan kanak-kanak.

Apabila di sekolah, kanak-kanak ini bergaul sehingga lupa pesanan untuk menjaga penjarakan sosial dan tidak menyentuh sesama mereka.

Lihat sahaja cara mereka bermain dan berbual selepas tamat sesi persekolahan, langsung tidak akur kepada arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Tiada pula kelihatan guru mengawal atau memantau pelajar di luar sekolah yang agak bebas bergaul dan bermain.

Bukan hendak menyalahkan guru yang terbeban dengan tanggungjawab mengajar, namun sekiranya ada pemantauan daripada pihak sekolah, kemungkinan pelajar akan lebih patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ini kerana kita tidak pasti pergaulan pelajar di luar sekolah, ke mana mereka pergi dan berjumpa dengan siapa sekali gus kebolehjangkitan itu amat tinggi.
Justeru, amat penting untuk pihak sekolah sentiasa berwaspada dan meningkatkan peraturan terutama ketika wabak ini masih berada pada tahap merisaukan.

 

XXXXX XXXXXXX XXXXXXX 

Ampang, Selangor

Keputusan Pengambilan Guru Lepasan SPM 2016

by

Calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah mengemukakan Permohonan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Jun 2016 di Institut Pendidikan Guru (IPG) boleh membuat semakan keputusan kemasukan pada 6 Jun 2016 mulai jam 3.00 petang hingga 13 Jun 2016. Calon berjaya dikehendaki mencetak surat tawaran. Maklumat lanjut : http://myadha.blogspot.com/2016/06/semakan-keputusan-ke-institut-pendidikan-guru-ipg-jun-2016.html

Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Jun 2015

by


Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Jun

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempelawa lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berkelayakan, berpotensi, berminat dan beriltizam untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).





1. KETERANGAN PROGRAM


1.1 Nama Program :

Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)

1.1.1 Program ini dikhususkan untuk melatih bakal guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dalam pelbagai bidang pengkhususan bagi keperluan di sekolah rendah.

1.1.2 Pemohon dikehendaki mengikuti Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) selama dua belas (12) bulan atau dua (2) semester di IPG berkenaan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

1.1.3 Pemohon yang LULUS PPISMP akan diberikan Sijil Tamat PPISMP dan DITAWARKAN mengikuti pengajian PISMP selama empat (4) tahun atau lapan (8) semester di IPG yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

1.1.4 PPISMP dan PISMP dilaksanakan secara Mod Sepenuh Masa.








2. SYARAT DAN KELAYAKAN ASAS


2.1 Warganegara Malaysia.


2.2 Umur tidak melebihi 20 tahun pada 30 Jun 2015 iaitu lahir pada atau selepas 30 Jun 1995.


2.3 Sihat tubuh badan.


2.4 Aktif dalam kegiatan kokurikulum.


2.5 Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperoleh gred cemerlangMakluman Gred cemerlang merangkumi gred A-, A dan A+ dalam mana-mana lima (5) mata pelajaran.



2.6 Memperoleh sekurang-kurangnya gred kepujian dalam mata pelajaran yang berikut iaitu:


i. Bahasa Melayu; dan
ii. Sejarah.


2.7 Lulus Bahasa Inggeris.


2.8 Memenuhi syarat bidang pengkhususan (Rujuk syarat bidang pengkhususan dalam permohonan online).











3. BIDANG PENGKHUSUSAN YANG DITAWARKAN:


3.1 Sekolah Kebangsaan (SK)



3.1.1 Bahasa Melayu 3.1.11 Pendidikan Muzik
3.1.2 Bahasa Inggeris 3.1.12 Pendidikan Pemulihan
3.1.3 Bahasa Arab 3.1.13 Pendidikan Khas
3.1.4 Bahasa Tamil 3.1.14 Pendidikan Awal Kanak-Kanak
3.1.5 Bahasa Cina 3.1.15 Sejarah
3.1.6 Bahasa Iban 3.1.16 Reka Bentuk dan Teknologi
3.1.7 Bahasa Kadazandusun 3.1.17 Matematik
3.1.8 Pendidikan Jasmani 3.1.18 Sains
3.1.9 Pendidikan Islam 3.1.19 Bimbingan dan Kaunseling
3.1.10 Pendidikan Seni Visual




3.2 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)



3.2.1 Bahasa Melayu 3.2.9 Pendidikan Khas
3.2.2 Bahasa Inggeris 3.2.10 Pendidikan Awal Kanak-Kanak
3.2.3 Bahasa Cina 3.2.11 Sejarah
3.2.4 Pendidikan Jasmani 3.2.12 Reka Bentuk dan Teknologi
3.2.5 Pendidikan Islam 3.2.13 Matematik
3.2.6 Pendidikan Seni Visual 3.2.14 Sains
3.2.7 Pendidikan Muzik 3.2.15 Bimbingan dan Kaunseling
3.2.8 Pendidikan Pemulihan




3.3 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)



3.3.1 Bahasa Melayu 3.3.9 Pendidikan Khas
3.3.2 Bahasa Inggeris 3.3.10 Pendidikan Awal Kanak-Kanak
3.3.3 Bahasa Tamil 3.3.11 Sejarah
3.3.4 Pendidikan Jasmani 3.3.12 Reka Bentuk dan Teknologi
3.3.5 Pendidikan Islam 3.3.13 Matematik
3.3.6 Pendidikan Seni Visual 3.3.14 Sains
3.3.7 Pendidikan Muzik 3.3.15 Bimbingan dan Kaunseling
3.3.8 Pendidikan Pemulihan









CALON TIDAK LAYAK MEMOHON






1. Pemohon yang sedang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan atau Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di institusi-institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia.


2. Pemohon yang dikenakan tindakan tatatertib atau sedang dalam proses tindakan tatatertib semasa dalam perkhidmatan awam atau latihan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan.


3. Pemohon yang pernah mengikuti program ikhtisas di Institut Pendidikan Guru, tetapi gagal dalam peperiksaan dan ditamatkan daripada program.


4. Pemohon yang pernah atau sedang disabitkan dengan kesalahan penyalahgunaan dadah, jenayah atau tindakan mahkamah.










CARA MEMOHON





1. Permohonan hanya boleh dibuat secara dalam talian (online) dengan melayari laman sesawang Kementerian Pendidikan Malaysia di alamat : http://www.moe.gov.my mulai 17 Februari 2015.

2. Permohonan akan ditapis berdasarkan syarat kelayakan dan kriteria yang telah ditetapkan oleh KPM. Pemohon yang terpilih mesti menduduki dan LULUS Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) sebelum layak dipanggil temu duga

3. Pemohon dinasihatkan melayari laman sesawang : http://www.moe.gov.my bagi mendapatkan maklumat iklan, Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG), temu duga, syarat bidang pengkhususan dan gred minimum serta kalendar aktiviti sebelum membuat permohonan.

4. Pemohon dibenarkan mengemukakan SATU (1) permohonan dan boleh mengemaskini pada bila-bila masa sahaja.

5. Permohonan hendaklah disahkan dan dihantar sebelum tarikh tutup permohonan. Permohonan yang berjaya dihantar akan menerima nombor rujukan sebagai pengesahan.


6. Maklumat yang tidak benar dan tidak lengkap boleh mengakibatkan permohonan ditolak.





PERINGATAN
Pemohon yang didapati memberi maklumat salah/tidak benar/manipulasi maklumat dalam borang permohonan akan diambil tindakan dengan menarik balik surat tawaran dan dikenakan tindakan undang-undang. Maklumat ini akan disemak secara terperinci pada hari pendaftaran dan selama tempoh pengajian.






TARIKH TUTUP PERMOHONAN : 08 MAC 2015 (11:59 MALAM)






Sila hubungi alamat berikut sekiranya ada sebarang pertanyaan berkaitan dengan permohonan :







INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
ARAS 1, ENTERPRISE BUILDING 3, BLOK 2200
PERSIARAN APEC, CYBER 6,63000 CYBERJAYA

(u.p: Unit Pengambilan Pelajar, Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Hubungan Luar)
No. Telefon : 03-8312 6720/6758/6731/6733/6769/6723/6760



Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90