Top Ad 728x90

Rabu, 12 Oktober 2016

, ,

Sinopsis Drama Patahnya Sebelah Sayap

Sinopsis Drama Patahnya Sebelah Sayap



Drama Patahnya Sebelah Sayap ini dibintangi oleh Ummi Nazeera, Aeril Zafrel dan Izzue Islam. Drama terbitan Creative Skill Solution ini telah diarahkan oleh Ayie Mustafa. Antara barisan pelakon lain yang turut menjayakan drama ini adalah Wawa Zainal, Syainie Shuhaimi, Normah Damanhuri, Zainab Othman dan Neera Azizi.

Drama ini mengisahkan tentang Alisha lakonan Ummi Nazeera yang merupakan seorang gadis kampung yang setia mencintai Amzar. Hubungan Alisha dan Amzar lakonan Izzue Islam sangat bahagia pada awalnya. Sementara Amzar keluar mencari kerja, Alisha banyak membantu keluarga Amzar.

Satu hari Amzar lulus temuduga dan diterima bekerja sebagai seorang peguam di sebuah firma guaman. Alisha sangat teruja bila mendapat tahu bahawa Amzar berjaya menjadi seorang peguam, kerjaya yang selama ini diidamkan Amzar. Demi untuk memastikan Amzar selesa ke tempat kerja, Alisha membeli beberapa helai kemeja untuk kekasih hatinya itu sebagai tanda sokongan.

Kerana komited dan fokus bila menjalankan kerja, Amzar berjaya memenangi kes pertama yang dibicarakan. Amzar meraikan kejayaannya itu bersama Alisha di sebuah kedai makan. Amzar juga tidak melepaskan peluang untuk melamar Alisha. Alisha yang masih teruja dengan kejayaan yang baru dikecapi Amzar terus menerima lamaran itu.

Dalam perjalanan pulang selepas meraikan kejayaan Amzar, mereka berdua bergurau senda dalam kereta Alisha yang kebetulan waktu itu dipandu oleh Amzar. Tiba-tiba ada sebuah kereta hampir melanggar mereka dari arah bertentangan. Amzar cuba mengelak tetapi dia pula yang terlanggar sesuatu. Kerana hujan yang sangat lebat ketika itu, Amzar dan Alisha tidak nampak apa yang dilanggar. Amzar akhirnya turun dari kereta untuk melihat apa yang telah dilanggarnya. Bila dia kembali semula ke dalam kereta, Amzar berdalih mengatakan dia terlanggar sebuah tong besar.

Satu hari ketika Alisha sedang membelek surat khabar, dia terbaca sebuah artikel tentang satu kes langgar lari. Kejadian itu berlaku pada waktu yang hampir sama ketika dia dan Amzar terlanggar sesuatu. Hati Alisha mula tidak sedap, dia yakin insiden itu ada kaitan dengan mereka.

Belum sempat dia berbuat apa-apa, datang pula sekumpulan anggota polis ke rumah Alisha dan menahannya. Alisha dituduh sebagai suspek utama kes langgar lari tersebut. Mula-mula Amzar berjanji untuk membela Alisha tetapi bila kes mula dibicarakan di mahkamah Amzar tidak bersuara dan membiarkan Alisha bersendirian menjalani tempoh hukuman dua tahun yang dikenakan ke atasnya.

Selepas Alisha dibebaskan, dia bekerja sebagai tukang cuci di pejabat Kuzairi lakonan Aeril Zafrel. Sebenarnya Kuzairi adalah suami kepada mangsa langgar lari insiden dua tahun lepas. Namun hal itu langsung tidak diketahui Alisha. Kuzairi mula menyukai Alisha.

Ikuti konflik percintaan dan dendam dalam drama ini pada setiap hari Isnin hingga Rabu jam 10.00 malam di Slot Samarinda TV3.

0 komen:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90