Jumaat, 6 November 2015

Ulangtahun Ke-2 Umar



Umar. 2 tahun. Waktu dilahirkan jam 4.42 petang 6 November 2013, seluruh badannya biru (gelap). Dia agak lambat menangis. Dikejarkan ke Unit ICU Pediatrik tanpa diletakkan di atas badan ibunya. Ibunya tak sempat pun melihat wajah Umar. Baru saya tahu itu prosedur apabila bayi disyaki ada masalah.

Berbeza dengan adiknya Uwais yang diletakkan di atas badan ibu sejurus selepas lahir. Selepas itu bapa boleh azan bayi. Ketika troli katil ditolak ke wad, bayi diletak di celah kaki ibu. Itu tanda bayi itu sihat.

Saya hanya boleh azan Umar tiga jam kemudian selepas dia dibersihkan, disambung dengan oksigen dan pelbagai wayar di seluruh badan dan diletakkan di dalam bekas khas.


Saya hanya boleh azan Umar tiga jam kemudian selepas dia dibersihkan, disambung dengan oksigen dan pelbagai wayar di seluruh badan dan diletakkan di dalam bekas khas.



Selepas dua doktor pakar Hospital Kuala Terengganu memeriksa Umar, mereka cuba menghubungi HUSM Kubang Kerian namun mereka menolak dengan alasan doktor pakar sedang bercuti. Mujurlah pihak Institut Jantung Negara (IJN) memberi lampu hijau untuk menerima Umar. Hospital Kuala Terengganu tiada kemudahan untuk pembedahan jantung.

Selepas itu baru saya tahu yang Umar biru kerana ada masalah jantung namun doktor ketika itu belum menjelaskannya secara terperinci.

Menjelang tengah malamnya saya mendapat panggilan telefon di mana Umar mesti dihantar ke Kuala Lumpur pada malam itu juga. Saya bersama dua orang doktor dan dua jururawat menaiki ambulans ke IJN. Ibunya tidak dibenarkan ikut sama oleh doktor kerana masih lemah. 

Umar bergantung sepenuhnya dengan bantuan oksigen. Memandangkan perjalanan yang jauh, ambulans terpaksa berhenti di Hospital Kemaman untuk menukar tangki oksigen.


Sebaik tiba di IJN, seorang doktor pakar menerangkan secara terperinci masalah jantung yang dihadapi oleh Umar. Dua salur injap utama jantung Umar berada dalam kedudukan terbalik. Prosedur pertama untuk menstabilkan tekanan oksigen adalah dengan memasukkan belon khas ke jantung Umar.


Kes Umar diberi keutamaan oleh IJN kerana dia perlu dibedah segera. Dua minggu selepas itu pembedahan besar yang dipanggil Transposition of Great Arteries (TGA) Operation dijalankan ke atas Umar untuk menukar salur injap arteri jantung kiri ke kanan dan salur arteri kanan ke kiri. Pembedahan ini memakan masa lebih enam jam.


Selepas pembedahan, dada Umar tidak dijahit lagi bagi mengelakkan berlaku keadaan di luar jangka. Dadanya hanya dijahit 24 jam selepas itu. Alhamdulillah, selepas 48 jam waktu kritikal selepas pembedahan, Umar mulai sedar. Semangatnya untuk hidup memang kuat dengan rahmat Allah SWT dan berkat doa keluarga dan rakan-rakan.


Kini, selepas dua tahun, sepanjang pemeriksaan susulan di HSNZ dan IJN, doktor berpuashati dengan keadaan salur injap utama dan tekanan oksigen jantung Umar. Semoga Allah SWT sentiasa memberi kesihatan yang baik buat anakanda Umar. Ameen.

NEXT ARTICLE Next Post
PREVIOUS ARTICLE Previous Post
NEXT ARTICLE Next Post
PREVIOUS ARTICLE Previous Post
 

Delivered by FeedBurner