Sabtu, 10 Oktober 2015

Warkah Buat Pesakit Jantung Uwais



Saya ingin berkongsi satu warkah dari seorang bapa kepada anaknya yang menghadapi masalah jantung. Nasib Muhammad Uwais Bin Sayuti sama dengan anakanda sulung saya, Muhammad Ahsan Umar yang pernah menghidap masalah salur injap jantung terbalik semasa dilahirkan dulu. Nama Uwais pula kebetulan sama dengan nama anak kedua saya, Muhammad Ayden Uwais.

Sama-sama kita ikuti coretan saudara Sayuti Wan Chik;

Warkah Abi buat Muhammad Uwais

Assalamualaikum Muhammad Uwais,

Tika Abi menulis ni, tiada apa lagi dalam fikiran Abi selain hanya Uwais yang sangat Abi, Ummi, Along Iman dan Angah Furqan rindu, kasih & sayang sepenuh hati.

Uwais,

Nama ini Abi pilih tatkala Abi hadir ke kuliah Ustaz Shamsuri sekitar April 2015 yang lalu. Abi sangat teruja dengan kisah hebat insan bernama Uwais al Qorni dimana kisahnya yang masyhur tentang kehebatannya yang disebut dan dipesan oleh Rasulullah kepada para sahabat supaya mencari pemuda bernama Uwais al Qorni dan meminta supaya mendoakan mereka.

Uwais yang didunia ni tak terkenal tapi sangat terkenal dilangit, mulianya beliau disisi Allah. Itulah sebab nama Uwais Abi pilih semoga Uwais juga akan jadi anak yang soleh, hebat dan mulia disisiNya. InsyaAllah.

Uwais,

Tanggal 20 September 2015 jam 6.20 petang di INS Specialist, Uwais lahir. Dr. Annuar sambut Uwais sambil iqamah dilaungkan dan Abi tanpa henti ucapkan "Alhamdulillah...Alhamdulillah" syukur pada Allah bila Uwais dah lahir. Ummi pun tak henti-henti ucap
"Allahuakbar...Allahuakbar...Alhamdulillah". Gembiranya Abi dan Ummi masa tu dapat dengar suara Uwais menangis.

Abi tengok sendiri dari mula Uwais lahir sampailah selamat semuanya. Tak sabar rasanya Abi nak dukung peluk dan cium Uwais masa tu. Kata Ummi, Uwais lahir sangat mudah. Ummi tak sakit lama dan tak tunggu lama untuk lahirkan Uwais. Alhamdulillah syukur pada Allah.

Uwais,

Lepas Uwais lahir nurse bawa Uwais kat Ummi, sempat Ummi sayang peluk cium Uwais masa tu. Abi tengok Ummi seronok sangat dapat peluk dan cium Uwais masa tu. Tanpa sedar jatuh airmata Abi tengok situasi masa tu. Abi pulak tak sabar nak dukung Uwais.

Nurse ambil Uwais dan timbang. 3.64kg berat Uwais. Lepas nurse siap lap badan Uwais Abi terus minta dengan nurse nak dukung dan azankan Uwais. Abi bawak Uwais ke hujung bilik bersalin tu dan berdiri sambil mengadap kiblat...Abi azankan ditelinga Uwais

"Allahuakbar Allahuakbar"
"Allahuakbar Allahuakbar"

Sesudah azan Abi cium Uwais puas-puas, sayang Uwais, peluk Uwais...seronok sangat rasanya. Lepas tu Abi bagi balik kat nurse, nurse bagitau nak bawa Uwais pergi nursery nak mandikan Uwais. Abi tunggu diluar bilik bersalin tu sampailah ummi dibawa ke bilik wad.

Uwais,

Malam tu Wan dengan Pak Ngah & Mak Ngah mai nak ziarah Uwais dan Ummi. Abi bawa Pak Ngah dan Mak Ngah ke nursery nak tengok Uwais tapi nurse tak bagi masuk. Abi sorang ja boleh tengok. "Tak apa lah nanti dah balik boleh la tengok Uwais" kata Abi dalam hati.

Bila nampak Uwais Abi hairan kenapa nurse letak "balang" oksigen kat kepala Uwais, belum sempat abi tanya nurse mai bagitau abi. "Tadi kami nak mandikan dia tapi nampak dia lemah, kulit nak jadi biru...bila kami bagi oksigen dia nampak stabil, doktor peads (kanak-kanak) akan terangkan dekat encik esok pagi.

Dan mulai saat itu hati abi tak tenang fikirkan Uwais. "Uwais kenapa? Apa jadi dengan Uwais? Kenapa Uwais kena pakai oksigen?" Beribu persoalan yang bermain difikiran Abi masa tu. Tapi Abi positifkan diri, insyaAllah Uwais tak ada apa nanti Uwais sihatlah.

Uwais,

Esoknya, pagi tu Abi pergi jumpa Dr. Lim untuk dapat penjelasan tentang Uwais
Kata doktor, Uwais tak cukup oksigen, oksigen dalam badan Uwais akan menurun tanpa bantuan oksigen Uwais nampak penat. Doktor nasihatkan abi supaya bawa Uwais ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut. Abi setuju, namun ada masalah lain pula.

Kata doktor, dia sudah hubungi pihak hospital untuk rujuk Uwais ke unit NICU (Neorat Intensive Care Unit) tapi pihak hospital menolak permintaan Dr. Lim. Katanya hospital sudah penuh dengan pesakit. Abi hampa waktu tu....apa yang Abi boleh buat untuk Uwais. Tapi doktor cakap Abi boleh bawa Uwais melalui kecemasan.

Doktor juga bagitau kemungkinan pihak HSB kan marah dengan dia dan juga Abi sebab bawa juga Uwais kesana walaupun pihak HSB dah pun bagi tau wad tiada kekosongan untuk tempatkan Uwais disana.Doktor kata kalau Abi tak bawak Uwais ke sana risiko seterusnya Abi kena tanggung dan doktor tak la pula bermaksud halau atau paksa bawa Uwais keluar dari INS tu.

Abi bilang, nanti abi bincang dengan Ummi dulu. Usai saja jumpa doktor, Abi bincang dengan Ummi. Lepas Ummi cuba hubungi kawan-kawan Ummi untuk dapatkan nasihat, Abi dan Ummi buat keputusan bawa juga Uwais ke HSB melalui kecemasan, dan Abi bagitau nurse yang Abi dan Ummi nak juga bawa Uwais ke sana (HSB).

Tengah hari tu Ummi sepatutnya sudah boleh pulang tapi Abi nak kena uruskan Uwais dulu ke HSB. Kata Ummi "Abi pi sana dulu urus Uwais nanti dah selesai datang ambil Ummi". Abi setuju lalu terus turun semula ke nursery untuk jumpa Uwais. Nurse bagitau Abi "Cik pi dulu ke HSB dan tunggu kami di bahagian kecemasan, takut lambat nanti jem dan parking." Abi bergegas tinggalkan INS tu dan terus ke HSB.

Uwais,

Sampai saja di HSB, berlari-lari Abi menuju ke bahagian kecemasan, takut-takut Abi terlambat. Ternyata sebaik Abi sampai saja dari jauh nampak nurse-nurse tengah tolak katil Uwais masuk ke dalam bahagian kecemasan, Uwais diletakkan dalam incubator masa tu. Lega abi sampai tepat pada masa.

Selesai urusan pendaftaran Abi masuk ke dalam di Zon Merah dimana kat situ doktor periksa. Lepas doktor periksa doktor macam marah-marah ja dengan nurse-nurse yang bawak Uwais tu sebab bawa Uwais melalui situ. Kasihan Abi tengok depa kena marah, Abi mencelah bagitau doktor Abi yang nak bawa juga Uwais ke sini walaupun pihak HSB dah maklum pihak HSB tak boleh terima pesakit luar.

Kemudian, doktor bahagian NICU sampai. Dia pun jelaskan benda sama tapi Abi berkeras juga nak masukkan Uwais ke HSB. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan Uwais dapat masuk ke wad dan diletakkan dibahagian intermediate.Selesai saja masuk, Abi bergegas semula ke INS untuk discharge Ummi.

Lepas tu Abi dan Ummi pergi semula ke HSB untuk ziarah Uwais. Rutin Abi pun bermula setiap hari untuk ziarah Uwais diwaktu melawat. Abi tak boleh tengok Uwais ikut suka, kena ikut waktu melawat. Ummi tak apa la bila-bila ja boleh masuk.

Uwais,

Hari-hari Abi akan pi melawat Uwais dan sembang-sembang dengan Uwais. Abi tau Uwais dengar apa Abi cakap. Uwais masih sedar dan akan buka mata sesekali bila Abi cakap. Abi pegang tangan Uwais dan selalu bagi kata semangat untuk Uwais. Cerita pasal Along Iman, Angah Furqan kat Uwais. Kadang-kadang Uwais menangis.

Abi rindu nak dukung Uwais tapi sebab Uwais pakai tiub oksigen Abi tak berani nak dukung takut nanti apa hal kena marah pulak dengan nurse. Abi tepuk-tepuk Uwais sajalah pujuk Uwais bila menangis. Abi yakin Uwais akan sihat nanti. Hari-hari waktu tengah hari Abi melawat Uwais dan waktu petang Abi bawa Ummi sekali melawat Uwais.

Uwais,

Hari ke 4 Uwais lahir adalah Hari Raya Aidil Adha. Hari yang sama juga hari ulangtahun kelahiran Abi yang ke 33. Kita berkongsi bulan kelahiran yang sama. Abi bercita-cita nanti boleh la kita celebrate birthday sama-sama kan.

Hari raya tu, Wan buat korban lembu. Uwais nak tau, nenek hadiahkan 2 bahagian kat abi untuk buat kenduri aqiqah Uwais. Alhamdulillah terima kasih nenek, semoga Allah beri ganjaran pahala besar buat nenek, selalu pelihara nenek dalam rahmatNya serta diberikan kesihatan yang berterusan.

Petang hari raya tu Abi dengan Ummi pi melawat Uwais. Kesian Uwais terpaksa beraya di wad. Abi takbir raya sama-sama dengan Uwais.

"Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar"
"Lailahaillallahuwallahuakbar"
"Allahuakbar walillahilham"

Itulah pertama kali Uwais dengar takbir raya bergema ditelinga Uwais. Sedih juga Abi dengan Ummi bila tak dapat beraya bersama Uwais tapi tak apalah nanti Uwais dah sihat kita boleh raya sama-sama kan.

Uwais,

Hari demi hari Abi dan Ummi doa supaya Uwais cepat sihat, pada satu tengah hari masa Abi melawat Uwais doktor bagitau Abi Uwais penat dan doktor nak buat scan jantung Uwais. Abi mula bertambah risau.

Kata doktor juga Uwais terkena jangkitan diparu-paru dan 5 hari doktor bagi antibiotik kat Uwais. Abi positifkan diri Uwais akan sihat selepas tu. Sampailah hari ke 8 bila abi sampai diwad intermediate wad mula-mula Uwais masuk tapi Uwais tak ada. Abi cari Uwais merata tak jumpa dan tanya pada nurse, nurse bilang Uwais dipindahkan ke wad "semi intensive" sebelah wad Uwais duduk sebelum ni.

Kata nurse , Uwais penat jadi depa pindahkan Uwais. Abi terus ke wad tu. Allahuakbar...sayunya hati abi masa tu bila tengok Uwais dipakaikan corong oksigen dihidung dan kepala Uwais berbalut. Uwais nampak tenat. Tak putus-putus Abi mendoakan Uwais masa tu. Allah saja yang tahu betapa sayunya hati Abi tengok Uwais masa tu.

Tapi Abi buat-buat macho, Abi mana ada nangis pun. Abi cool ja. Abi sembang dengan Uwais dan zikir supaya Uwais kuat. Antibiotik yang pada awalnya telah tamat tapi doktor bagi semula yang baru. Kata Dr. Chan, antibiotik yang lebih kuat doktor bagi. Abi yakin Uwais akan sihat insyaAllah.

Uwais,

Hari ke 9, Dr. Chan buat scan dan check jantung Uwais, katanya jantung Uwais ada masalah tapi doktor tak pasti dia kata dia akan buat sekali lagi dan Dr. Aznor pula akan pastikan. Keesokkannya waktu melawat tengah hari Abi pi tengok Uwais.

Dr. Chan jumpa Abi dan terangkan apa masalah jantung Uwais, dia cakap sambil lukiskan jantung dan saluran darah untuk terangkan kat Abi "Encik, jantung kita begini dan punya saluran begini, saluran masuk darah tanpa oksigen, keluar semula ke paru-paru lalu masuk balik ke jantung bawa darah beroksigen dan keluar dari jantung ke seluruh badan dengan darah yang ada oksigen"
Abi angguk tanda faham penjelasan Dr. Chan.

Tapi lepas tu Dr. Chan bilang ;
"Tapi anak encik hanya punya satu saluran sahaja dimana itulah laluan darah tanpa oksigen dan oksigen keluar, jadi dia tak dapat bernafas dengan baik tanpa bantuan oksigen"

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar

Rasanya seperti kelam dunia Abi masa tu, Abi rasa macam nak rebah jatuh bila Dr. Chan cakap macam tu. Abi tabahkan hati kuatkan semangat dengar penjelasan doktor. "Apa yang boleh kita buat?" Tanya Abi pada Dr. Chan. "Kita akan refer ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan minta pakar jantung disana akan tengok kes ni dan dia akan tentukan bagaimana boleh rawat, sama ada operation atau pun tidak. Biasanya boleh dibuat di HPP atau kalau tak boleh akan dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur." kata doktor.

Abi akur dan faham. Hanya mampu berdoa pada Allah saja masa tu sayang.

Uwais,

Hari ke 10 Uwais lahir baru Abi punya kesempatan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kat bawah office Abi di UTC untuk daftar kelahiran Uwais secara rasmi. Pegawai JPN bagitau Abi
"Kalau nak buat mykid cepat encik boleh ke JPN Anak Bukit siap dalam masa sejam, kat sini (UTC) 3 bulan baru siap sebab kami hantar ke Putrajaya"

"Kalau macam tu saya ke Anak Bukitlah" kata Abi. Abi terus ke sana. Alhamdulillah selesai semuanya dan Uwais sudah punya surat kelahiran dan mykid. Malam tu Abi bawa Along Iman dengan Angah Furqan ke HSB tapi mana boleh masuk tengok Uwais.

Makcik (kakak Abi) ikut sekali, kebetulan petang tu Mak cik ikut Abi balik rumah Wan nak ziarah ummi. Humaira' (anak mak cik) dan kak lang (anak mak cik) pun ikut temankan Along Iman dan Angah Furqan main kat taman permainan. Abi dengan Ummi saja lah tengok Uwais. Uwais nak tau dak, hari-hari Along Iman dan Angah Furqan tanya Abi

"Bila Uwais nak balik?"
"Furqan (Angah) nak tengok baby"
"Iman (Along) nak bawa baby kat cikgu"

Abi tak tau nak cakap apa lagi melainkan bagitau Along Iman & Angah Furqan yang Uwais tak sihat, nak makan ubat...hanya itu yang selalu diulang-ulang. Bila Angah Furqan mengamuk nangis-nangis nak ikut Abi tunjuk gambar Uwais diwad bagi Angah Furqan faham kenapa Abi tak boleh bawa dia tengok Uwais. Kadang-kadang Abi rasa airmata ni nak keluar saja bila Along Iman dan Angah Furqan tanya pasal Uwais tapi Abi kuatkan diri untuk tahan saja.

Uwais,

Hari ke 11, Abi ziarah Uwais tengah hari. Sebaik sampai Uwais tak ada ditempat. Sekali lagi Abi rasa risau dan tanya nurse. Nurse bagitau Uwais penat lagi dan dipindahkan ke sebelah. Dari "semi intensive" Uwais dipindahkan ke bahgian "Intensive".

"Innalillahiwainnailaihirajiun....sayang Abi" itu saja mampu abi ucapkan bila nampak Uwais guna bantuan oksigen melalui mulut. Uwais nampak sangat tenat. Abi mula rasa tak kuat...tanpa sedar Abi tak mampu tahan airmata bila tengok Uwais masa tu. Petang Abi bawa Ummi untuk ziarah Uwais seperti biasa.

Uwais,

Hari ke 12 tengah hari Abi ziarah Uwais seperti biasa sembang-sembang dengan Uwais, walaupun Abi kata kat diri sendiri Abi kena kuat tapi bila sampai depan Uwais , Abi tak kuat juga.
"Uwais...hidup kat dunia ni bukan mudah, banyak dugaan dan cabaran, kita kena kuat, sabaq dan redha...Allah bagi semua ni nak uji Abi dan ummi".

Petang tu Abi bawa Ummi pulak jumpa Uwais, kebetulan Abi ternampak laporan Uwais di PC sebelah katil Uwais. Mana lah Abi paham bahasa nurse dan doktor ni. Tapi bila Ummi nampak saja terus terkeluar kata dari mulut Ummi

"Allahuakbar"

Abi tengok lagi sekali PC tu, baru Abi perasan ada perkataan "DIL". Mula-mula Abi cakap kat diri sendiri, tak ada apa ni...bukanlah macam Abi fikirkan. Tapi Abi rasa macam tau apa makna DIL tu. Ummi nampak cool ja. Abi dan Ummi sembang dengan Uwais, Ummi bagi kata semangat untuk Uwais, sama juga Abi.

Keluar saja dari wad Ummi mula lemah dan menitis airmata, Abi tanya Ummi kenapa. Dia geleng-geleng saja. Abi cuba pujuk ; "Sabaq la, Allah tengah uji kita ni"

"Dia tak sihat...sangat tak sihat" kata Ummi. Abi tak tanya banyak. Tapi hati Abi kata, pasti ada sesuatu yang Ummi tak bagitau abi. Ummi paham la laporan tu, dah kerja dia kat hospital tu. Abi mana lah tau. Sepanjang jalan Ummi tak berhenti menangis. Abi mula risau, sampai dirumah kita Ummi sangat sedih tak seperti sebelum ni ada masa nampak kuat, berbeza kali ni.

Abi tanya Ummi, "Pasal laporan tu, DIL tu Abi tau....Abi tau" (mata Abi mula berkaca) baru Abi teringat Ummi pernah sebut masa dia bercerita tentang pesakit yang dia pernah lawat. DIL tu "Death in list". Allahuakbar Abi tak mampu lagi tahan airmata sambil pujuk Ummi. Mahasuci Allah yang menjadikan langit dan bumi serta isinya.

Sungguh beratnya ujian ni Abi rasa. Malam tu lepas Abi dan Ummi sampai rumah Wan, nenek mula tanya ; "Macam mana Uwais...apa perkembangan?" Ummi mula pandang Abi dan kata "Ceritalah" Abi tak tau nak mula bagimana, rasanya seperti ada sesuatu yang melekat dileher sampai tak mampu nak berkata apa-apa.

"Keadaan dia..." Abi terhenti sambil menahan sebak
"Cepat cerita...hampa tak bagitau aku pun pasal cucu aku" kat Wan yang dah mula bicara sambil menangis.

"Apa pun jadi. Kita kena sabaq...kena redha" kata Abi dalam nada tersekat-sekat"

"Tu la mama dah kata...sabaq, redha Allah bagi ni" sampuk nenek Abi ceritakan apa yang Abi dan Ummi nampak tentang laporan tu kat Nenek, Wan...kebetulan Pak Ngah dan Mak Ngah (sedang dukung Muhammad Al Fateh yang sebaya Uwais) kakak Icha (kakak Fateh) juga ada waktu tu. Suasana malam tu sungguh pilu sayang.

Abi tak mampu nak bercerita banyak melainkan Abi tunjukkan gambar-gambar yang Abi curi-curi rakam masa diwad dan tunjukkan pada Nenek dan Wan. Nenek tak sanggup nak tengok keadaan Uwais melalui gambar-gambar tu. Wan pula sedih sangat, hanya mampu berkata

"Ya Allah cucu aku...ya Allah cucu aku....astgfirullah....astagfirullah" itu saja yang diucapkan oleh Wan.

Uwais,

Masuk sudah hari ke 13 Uwais masih dalam keadaan yang sama, ada masa nurse pasang lampu biru sebab joundice Uwais sat ada sat tak da. Nafas Uwais masih nampak penat.Masuk hari ke 14, Abi dengan Ummi bincang nak pindahkan Uwais ke HPP saja. Walaupun jauh, tapi disana ada pakar yang boleh tengokkan Uwais. Abi sampai awal diwad hari tu, minta kat guard nak masuk jumpa doktor. Tak boleh, guard hanya sampaikan hajat abi kepada doktor. Lepas dia (guard) keluar dari wad. Dia cakap "Doktor suruh tunggu waktu melawat jam 1230pm"

Mula-mula rasa emosi jugak tapi tak apa lah sabaq...abi tunggu lah. Masuk disurau solat dan dulu mohon doa supaya semuanya dipermudahkan. Cukup waktu lawatan Abi terus masuk dan jumpa doktor. Dr. Oh , setelah berbincang Dr. Oh kata dia cuba bincang dengan bos dia untuk sampaikan hajat Abi tapi bergantung juga keadaan di HPP ada kekosongan atau tidak nak tempatkan Uwais kat sana. Petang nanti dia bagitau result macam mana. Abi rasa lega.

Petang tu Abi lambat sikit sampai, lepas kerja balik ambil Ummi dulu dirumah nenek dan bawa ke wad jumpa Uwais. Belum sempat masuk diwad Dr. Oh tiba-tiba muncul, kami berbincang dan akhirnya akur. Uwais hanya akan dibawa ke HPP pada 6 Oktober, mengikut rancangan yang doktor dah tetapkan. Tak apa lah. Lagipun sehari sebelum saja dari tarikh sepatutnya Uwais nak dibawa. Appointment Uwais dengan pakar jantung kanak-kanak Dr. Sharifah jam 2.30petang.

Uwais,

Hari ke 15 hari ini, tengah hari Abi melawat Uwais dan petang Abi bawa Ummi. Uwais nampak sihat, nampak fresh saja macam baru lepas mandi. Pertama kali juga Abi sampai dan bagi salam ;
"Assalamualaikum sayang Abi"

Uwais terus buka mata. Tak macam selalu Uwais tidur saja. Seronoknya rasa hati Abi bila tengok respon Uwais macam tu. Abi percaya Uwais kuat dan tabah. Yakin dengan Allah, Dialah yang Maha Pencipta dan menjadikan kita, Dia juga yang akan menyembuhkan kita, semuanya atas kehendakNya.

Uwais beri respon bila Abi dan ummi sembang dengan Uwais, kali ini banyak kali Uwais cuba buka mata nak tengok Abi dan Ummi. Alhamdulillah Uwais nampak makin sihat.
"Esok kita nak pi jalan-jalan ke Pulau Pinang" kata ummi

Perasaan bercampur baur sayang, Abi dan Ummi hanya mendoakan yang terbaik buat Uwais.

Uwais,

Hari ke 16. Tengah hari nanti kita akan bertolak ke HPP. Uwais akan naik ambulan, Abi dan Ummi akan ikut dari belakang dengan kereta. Apa pun yang bakal berlaku, apa juga keputusannya nanti oleh Dr. Sharifah...insyaAllah Abi dan Ummi sedia menerimanya dengan hati yang tabah. Abi yakin Uwais akan sihat dan sembuh.

Kan Abi dah janji, Abi akan bawa Uwais balik jumpa Along Iman dan Angah Furqan yang hari-hari tanya pasal Uwais. Ramai orang doakan Uwais, kawan-kawan Abi dan Ummi dan semua orang doakan yang terbaik buat Uwais. Kuatkan hati, yakin dengan kuasa Allah. Uwais akan sihat nanti. InsyaAllah.

Ya Allah,
permudahkanlah urusan Muhammad Uwais sembuhkanlah Muhammad Uwais
panjangkanlah kesihatan Muhammad Uwais
selamatkanlah perjalanan pergi dan balik Muhammad Uwais
Amin ya robb

Abi Iman Furqan Uwais
06102015
22 Zulhijjah 1436
2.05am

* Dipetik dari Facebook Sayuti Wan Chik

NEXT ARTICLE Next Post
PREVIOUS ARTICLE Previous Post
NEXT ARTICLE Next Post
PREVIOUS ARTICLE Previous Post
 

Delivered by FeedBurner